Wednesday, December 7, 2011

Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.
Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.
Bersederhanalah dalam membina harapan.
Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.
Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.
Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri

-Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.com)

Tuesday, November 29, 2011

Hamba Mu

Love the lyrics...


Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah
HambaMu Allah

Sekiranya takdir menguji
Cekalkanlah hasrat di hati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus asa

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah

Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah
HambaMu Allah
HambaMu Allah


Monday, November 28, 2011

Muharam datang lagi.. 1433H

Alhamdulillah kerana Allah masih memberi peluang untuk meyambut tahun baru. Masih diberi peluang untuk hidup di dunia fana' ini dan diberi ruang untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Sering yang dikaitkan dengan Muharam adalah hijrah.. Dan falsafah hijrah Rasullullah 1433 tahun dulu perlu dihayati, malah semakin signifikan dalam menempuh cabaran hidup akhir zaman ini.

Hijrah seharusnya sentiasa kearah pembaikan diri. Ia adalah suatu proses mujahadah, dan proses ini melibatkan beberapa perkara penting:

1. Tujuannya harus kerana iman dan Islam.
2. Hijrah menuntut pengorbanan
3. Hijrah memerlukan persediaan
4. Perlu disertakan dengan sabar



"Sesiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim).  

"Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)."
(Al-Baqarah: 269) 


Kefahaman agama bukan sekadar ilmu pengetahuan. Kerana itulah, ramai yang tahu tetapi tiada perubahan diri. Faham agama membawa maksud yang lebih mendalam.  Kefahaman dalam agama menuntut kita melaksanakan semua yang dituntut dalam agama.

Semoga kita semua diberi kefahaman dalam agama dan kekuatan dalam melaksanakannya secara istiqamah.

Saturday, November 26, 2011

Bagaimana Menyambut Hari-harimu

Ketahuilah! Bahawa dalam hari-harimu ada kesempatan.
Maka, manfaatkanlah dan jangan engkau menunda-nunda kebaikan hingga hari esok.
Jika kelmarin engkau berbuat dosa,maka lipatgandakanlah kebaikan, niscaya engkau akan terpuji.
Jika engkau manfaatkan hari-harimu, maka faedahnya akan kembali kepadamu.
Hari kelmarin telah berlalu, tak mungkin akan kembali.         
Janganlah engkau menunda-nunda kebaikan hingga esok.
Mungkin hari esok akan hadir, namun engkau telah tiada

Wahai orang-orang yang menjadikan hari-harinya sebagai tunggangan syahwat belaka, sedar dan ketahuilah! Bahawa umur meskipun terasa panjang, namun hari-harimu sentiasa menuruti dan tidak ada setelah itu, kecuali kematian. Maka bersegeralah bermuhasabah diri dan berubahlah!

Sesungguhnya, dunia merupakan tempat tipuan. Tidaklah ada yang mempercayainya kecuali orang jahil dan lalai.

* Jalanilah hari-harimu dengan niat yang benar, berazam (bertekad) berbuat taat, menjauhi maksiat dan tidak lupa meminta kepada Allah taufikNya menuju keredhaanNya.
* Janganlah melupakan zikir kepada Allah, dan janganlah ada hari yang berlalu tanpa zikrullah.
* Laksanakanlah perintah-perintah Allah yang telah diwajibkan kepadamu
* Tahanlah sifat yang merugikan kaum muslimin. Berikanlah kasih-sayang kepada orang-orang lemah dan ajarilah orang yang tidak mengetahui.
* Tersenyumlah di hadapan kaum muslimin kerana itu merupakan sedekah.
* Jadikanlah dirimu sebagi orang yang suka memberi nasihat di hadapan muslimin, dan jangan melalaikan mereka.
* Cintailah kebaikan pada kaum muslimin, sebagaimana engkau mencintai kebaikan untuk dirimu sendiri.
* Janganlah meremehkan amal kebaikan, meskipun hal itu remeh menurutmu.
* Jauhilah tempat-tempat syubhat (merugikan), dan menjauhlah dengan membawa agamamu, sehingga engkau tidak akan terkesan dengan syubhat itu.
* Jauhkanlah dirimu dari segala sesuatu yang bisa menyeretmu ke dalam kemaksiatan kepada Allah, atau yang dapat mendekatkan dirimu ke dalam maksiat.
* Berniatlah selalu untuk berbuat kebaikan dan menjauhi yang haram. Ketahuilah, bahwa di dalam niat berbuat baik terdapat balasan dan pahala.
Dari sumber ini ...
 

Friday, November 25, 2011

Muhasabah di hujung tahun

Perkongsian dari slot Ad-Daurah IKIM.fm bersama Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri sempena menyambut tahun baru hijrah 1433, dan sedikit tambahan dari sumber-sumber lain

Muhasabah: perhitungan/audit diri
Perkara yang dimuhasabahkan adalah dari segi iman, ilmu dan amal.

"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (oleh Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (oleh Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".
-Saidina Umar Al-Khatab

Penting untuk muhasabah diri kerana semua perkara akah dihisab di hari akhirat tidak kira perkara kecil atau besar. Muhasabah perlu dilakukan dengan kerap kerana ia satu usaha pembaikan diri.Orang yang hebat ialah orang yang bermuhasabah setiap hari, (jika tidak, setiap minggu, bulan atau paling tidak setiap tahun). Dengan muhasabah, kita dapat mengetahui segala kelemahan untuk diinsafi, bertaubat, jauhi dan diperbaiki. Manakala perkara yang baik haruslah untuk disyukuri.


Orang-orang soleh selalu bermuhasabah terhadap dirinya.Beberapa kepentingan dan kelebihan muhasabah:
1. Supaya tidak melakukan kesilapan yang sama
Sabda Rasullullah “Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali" (HR Bukhari dan Muslim).

2. Supaya dapat membuat perancangan dan strategi untuk memperbaiki kelemahan

3. Supaya lebih berwaspada dengan perangkap dosa. Tanpa muhasabah mungkin kita menyangka kita sentiasa betul.
"...Syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan  mereka. (Surah Muhammad: 25)
"Syaitan sentiasa menghiasi kesalahan dan memanjangkan  angan-angan bagi mereka."  -Hassan Al Bashri

4. Dengan muhasabah akan berlakunya peningkatan diri.

Untuk memastikan muhasabah kita tidak sia-sia, ia perlu disertai dengan praktikal dan istiqamah. Kadang-kadang kita jadi kecewa kerana azam tahun baru selalu tidak menjadi. Oleh itu, bina azam-azam yang kecil supaya dapat mencapai  azam-azam yang besar. Jangan putus asa, teruskan berazam untuk jadi lebih baik, Teruskan berusaha, berdoa dan berharap dan redha dengan ketentuan. Yakin Allah akan beri yang terbaik untuk kita.



NB: Tentang doa tahun baru: Doa sememangnya disaran oleh Rasulullah, tetapi harus diingat tahun hijrah hanya bermula semasa pemerintahan Saidina Umar. Pada pendapat Dr Zulkifli, amalan bacaan doa akhir dan awal tahun secara beramai-ramai itu tidak salah, malah Dr Zulkifli mencadangkan doa-doa itu lebih 'personal' dan kita berdoa meminta kebaikan supaya dapat memberi kebaikan. (Eg. mohon kaya supaya dapat lebih banyak disedekahkan, sihat supaya lebih banyak dapat beribadah etc)

Tuesday, November 22, 2011

Nadwah "Utamakan yang utama"

Alhamdulillah hari ini cuti umum-Hari Keputeraan Sultan Johor. Pagi ini kami berpeluang menghadiri satu program nadwah anjuran IKRAM JBT bertajuk "Utamakan yang utama" berdasarkan kupasan Fiqh Aulawiyat (Keutamaan) Sheikh Dr. Yusuf Qardhawi dan juga berkaitan dengan Fiqh Muwazanah (Pertimbangan)

Kita sering berada dalam dilema dalam menentukan yang utama. Pengurusan masa adalah penting dalam menentukan kita manusia yang hebat dan berjaya. Dan orang yang berjaya adalah orang yang dapat melaksanakan pekerjaannya mengikut keutamaan. Mengutamakan yang utama telah lama diajar oleh para Nabi dan Rasulullah dan telah dipraktikkan oleh tokoh-tokoh Islam yang hebat. Kerana itulah Islam berada dalam zaman kegemilangannya. Sayangnya, umat Islam sekarang telah hilang 'prioriti' atau keutamaanya. Kita  sering berada dalam situasi di mana kita tidak dapat menguruskan apa yang lebih utama dan Fiqh Aulawiyat ini dapat memberi panduan kepada kita apabila berhadapan dengan isu-isu kemaslahatan (perkara-perkara yang membawa kebaikan)



Salah seorang ahli panel, Hajjah Sumilah Marto berkongsi tentang keutamaan dari perspektif wanita. Zainab Al-Ghazali mengatakan adalah lebih aula (utama) bagi wanita berbicara, berdakwah dan menjadi wakil kepada wanita kerana wanita lebih faham tentang isu-isu wanita (Al Imran:104). Dan bagi menjadi da'ie adalah penting bagi isteri mendapat izin dari suaminya dan perlu adanya kesefahaman dan tolak ansur dalam rumahtangga bagi wanita yang ingin menceburi bidang dakwah untuk terlibat dalam bidang dakwah.


Perkara-perkara yang harus dipertimbangkan dalam mengutamakan yang paling utama:
1. Yang wajib vs sunat
2. Perkara pokok vs cabang
3. Tarbiyah dan dakwah (tarbiyah penting supaya tidak menimbulkan fitnah kepada agama)
4. Ilmu (ilmu mesti melahirkan amal)
5.Kualiti
6. Kesihatan

Dalam menentukan keutamaan, yang penting adalah matlamat, ikhlas, kesungguhan dan pengorbanan.

Kupasan ringkas yang baik di sini




"Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita,
oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya"
-Hassan Al-Banna

“Peredaran masa sesuatu yang aneh, tetapi lebih aneh orang yang membiarkan sahaja ianya berlalu.” -Imam Syafie

Wednesday, October 12, 2011

Law Kaana Bainana


LAW KANA BAINANA

Puisi Intro
----------
Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa,
Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan,
Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu dan kebebasan daripada neraka-Mu,
Dan juga kami tamakkan syurga, yang dimasuki bersama-sama penghulu seluruh manusia.

Kami mohon pada-Mu...
Mohon dengan sangat, wahai Tuhanku,
Dari sudut hati kami yang paling dalam...

Start
-----
Kalaulah Kekasih-Mu, masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah
dengan haruman Baginda, sebelum hilangnya,
rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan Kekasih-Mu.

Berada berhampiran Baginda, jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah, akan diperkenankan,
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna,
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda,
Wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba...

Hidayahmu kepada alam merata meluas,
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan pemberi hidayah,
Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih,
Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.

Kutebus diriku dengan dirimu, wahai Kekasihku,
Nabi Muhammad yang mulia, yang asing,
Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum,
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam....

Wahai Kekasihku, wahai Nabi Muhammad
Wahai doktor hatiku, wahai yang dipuji dipuja
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.

Lirik Dalam Arab
-------------------------------------------------------------------
عبد الرحمن محمد -- لو كان بيننا الحبيب
------------------------------------------
يا ربي قد غفلنا وكلنا طمع
في عفو وفي كرم وفي اعتاق
وجنة مع سيد البشر
ندعوك... ندعوك ربي من الأعماق

لو كان بيننا الحبيب # لدنا القاصي والقريب
من طيبة قبل المغيب # طالباً قرب الحبيب

بقربه النفس تطيب # وتدعوا الله فيجيب
أنوار طه لا تغيب # بلغنا لقاه يا مجيب

هداك الكون الرحيب # رحمة الهادي القريب
حديثك النهر العذيب # جوارك الغصن الرطيب
فدتك روحي يا حبيب # محمد مكرم الغريب
بقربك الروح تطيب # يا رحمة للعالمين

يا حبيبي يا محمد # يا طبيبي يا ممجد
أنت ذوالفضل المؤيد # جل من صلى عليك
Walaupun ini entry yang agak terlewat, but it is worth mentioning. Alhamdulillah saya kini sudah betul-betul pulang ke tanah air. I am really back for good. Saya sudah selesai dengan viva seminggu sebelum puasa dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.

Jika diingatkan jalan yang ditempuh ketika menghabiskan PhD, rasa macam tak percaya selesai juga akhirnya. Tapi benarlah janji Allah, di setiap kesukaran pasti ada kesenangan, dan kita harus yakin dengan Allah. Alhamdulillah, dan saya mohon Allah sentiasa mengurniakan hati yang penuh syukur terhadap nikmatnya, dan tidak mensia-siakan nikmat yang diberikan.

Nyata dengan anugerah ini, maka bertambahlah tanggungjawab dan amanahnya. Tak terkejar sebenarnya.. Bukan seorang kawan yang terkejut melihat rutin harian saya dan rakan serumah, sehingga menyangka kami ini workoholic.. tidak, ini adalah hanya tuntutan kerja. Tidak dinafikan, saya sering rasa stres, kepenatan, dan rasa nak burn out.. nasib baiklah Islam ini penuh dengan terapi.. Lagipun melihat orang lain yang lebih banyak komitmen dan sumbangannya.. jadi malu sendiri.. bukankah dunia ini sebagai ladang akhirat.. jadi berusahalah semoga semua pekerjaan ini diterima sebagai ibadat dan amal jariah. Diakui banyak sungguh kelemahan dalam menjalankan tugas, masih cuba menguruskan ia sebaiknya.. InsyaAllah with time, akan lebih baik. Itu azam saya..

"Sesungguhnya rehat bagi seorang mukmin itu setelah kakinya menginjak ke syurga"

Kebaikan Dalam Kehidupan - slot Prof Dr Muhaya IKIM.fm

Dunia luaran adalah cermin dalaman, oleh itu cari kebaikan dalam setiap perkara, dan bukan mencari keburukan.

=> Pasang GPS untuk mencari redha Allah

Catatan Ustaz Zahazan, 6 ciri orang yang memiliki cinta sejati:
1. Tawaduk dengan orang mukmin
2. Tegas dengan orang kafir
3. Tidak takut/mengharap penghargaan manusia
4. Banyak melakukan perkara sunat
5. Berjihad pada jalan Allah
6. Banyakkan baca surah Ikhlas

Tujuan manusia dijadikan:
1.Sebagai hamba Allah
2. Sebagai khalifah
3. Untuk mengimarahkan bumi

=> Laksanakan dakwah dengan ilmu berserta kasih sayang. Jangan lihat output, tapi pada proses dakwah

=> Kita hanya mengumpat sebab hati kita dengki

      Jaga mulut!, Hanya cakap perkara yang baik

Wednesday, July 13, 2011

Kesihatan Emosi

Sedikit catatan sebagai perkongsian dari slot radio IKIM.fm bersama Prof. Dr. Muhaya:

Orang paling sihat emosi adalah mereka yang:
1. Bebas dari penghargaan manusia dan hanya mengharapkan redha Allah. Ramai orang stres, sedih, marah bila tidak dihargai-itu maknanya kita masih mengharapkan pengkiktirafan dari manusia (yang juga hanya hamba Allah). Jika kita hanya mengharapkan redha Allah, semua amalan kita adalah ikhlas kerana Allah dan kita tidak akan stres kerana hal-hal dunia.

2. Tawakal kepada Allah. Doa, usaha dan tawakal. Yang penting baginya adalah usaha dan amalannya, hasilnya serah kepada Allah. Jika rezeki itu miliknya, dia bersyukur, dan jika bukan milinknya, dia redha. Sikap ini juga mengurangkan perasaan dengki dan cemburu kerana yakin semua adalah hak Allah untuk beri atau tidak.

3. Melihat hikmah dan kecantikan dalam semua situasi, kerana Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk hamba-Nya.

4. Hidup dengan bersemangat untuk menjalankan tugas dan amanah. Masa itu sangat pendek, dan harus digunakan sebaiknya. Masa harus dipenuhi dengan bekalan untuk akhirat. Jika kita penat dengan kerja yang bermanfaat, kita akan terlalu letih untuk buat kemungkaran dan perkara lagha dan maksiat.


Kita boleh menjadi reaktif atau proaktif. Kebanyakan manusia adalah orang yang reaktif, dan hanya 5% proaktif. Manusia yang proaktif adalah manusia yang berjaya.

Manusia yang reaktif-> emosi dan mood amat dipengaruhi oleh persekitaran. Emosi yang negatif akan membawa kepada reaksi yang negatif.

Manusia yang proaktif->tidak dipengaruhi oleh persekitaran, kerana dia mampu mengawal dan memilih emosi dan pemikirannya. Sentiasa berfikiran positif dan akan menjadi lebih tenang dan ceria. Ini juga sejajar dengan perkongsian Ustaz Pahrol, orang yang proaktif juga adalah orang yang profesional. Emosinya adalah wajar dengan keadaan. Jika ingin marah, patut pada tempatnya--hanya kerana Allah. Jika ingin marah, pause dulu supaya lebih tenang.

Untuk menjadi manusia yang proaktif, kita harus 'kawal input'. Tapis apa yang patut di simpan dalam pemikiran kita, dan apa yang patut di delete. Pilih bahan bacaan, bahan tontonan, apa yang di dengar, dll. sebab perkara-perkara ini mempengaruhi personaliti kita.

Thursday, June 23, 2011

Jadikan kebersihan budaya Malaysia

Sudah hampir tiga bulan saya kembali ke tanah air setelah lama merantau ke negara orang. Sungguh seronok rasanya berada di negara sendiri dan teruja melihat pelbagai perubahan yang berlaku. Malaysia adalah sebuah negara yang cantik dan mempunyai banyak potensi.Tapi malang dan entah di mana silapnya, dalam kepesatan mengejar pembangunan fizikal, kelihatan seolah-olah pembagunan spiritual, emosi dan sahsiah ketinggalan.

Mungkin kerana telah berada di luar negara dan baru sahaja pulang, mata saya menjadi lebih 'tajam' melihat kepincangan ini. Bukan niat ingin mencari salah, tapi saya mahu penulisan ini menjadi peringatan kepada kita supaya tidak 'redha' dengan kebiasaan-kebiasaan negatif ini. Supaya ia tidak menjadi budaya dan disinonimkan dengan rakyat Malaysia. Kita sentiasa mengharapkan Malaysia menjadi lebih baik.


Saya yakin semua mengimpikan rumah yang cantik dan bersih. Tetapi aspirasi itu tidak pula ditunjukkan untuk negara tercinta. Sikap sesetengah rakyat dan penduduk Malaysia dalam aspek pembuangan sampah amat mengecewakan dan pengurusan sampah juga masih perlu diperbaiki.

Dalam lebih kurang 10 km perjalanan pergi dan pulang dari kerja, saya akan melalui jalan yang penuh sampah, tak kira di bahu jalan atau tengah jalan. Tengku Mahkota Johor pun perasan hal ini, walaupun fokusnya untuk negeri Johor.. tapi saya yakin keadaannya sama sahaja 1Malaysia ni. Saya setuju dengan teguran TMJ kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kurang cekap dalam memastikan kebersihan daerahnya. Walaupun ada jadual pungutan sampah di kawasan perumahan, tetapi datang dan tidak datang sesuka hati. Dengan cuaca Malaysia ini, sampah kita cepat busuk dan berulat. Ditambah pula dengan kucing dan anjing liar dan peliharaan, sampah sarap jadi bersepah-sepah di geladah. Begitu juga tong-tong sampah di kawasan awam, walaupun telah disediakan PBT masih perlu memastikan ianya sentiasa dikutip. Kadang-kadang tong sampah sampai overload berhari-hari. Di luar negara, sampah dikutip mengikut hari dan masa yang telah di tetapkan dan secara konsisten. Jadi penduduk sesuatu kawasan itu boleh membuang sampah dengan sistematik, tidak terlalu awal untuk mengelakkan dari di geledah oleh haiwan, dan tidak terlalu lewat sehingga ketinggalan lori sampah. Jika hari yang di jadualkan jatuh pada cuti umum, sampah akan dikutip pada hari berikutnya.

Sekalipun tanggungjawab PBT memastikan kebersihan daerahnya, penduduk sendiri harus bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan. Ini tidak, sebilangan penduduk Malaysia telah berjaya 'meluaskan' kawasan pembuangan sampah dengan di mana-mana pun boleh buang sampah, tak kira tempat dan masa, tanpa rasa malu atau bersalah.  Sakit mata dan hati melihat orang membuang sampah merata-rata. Di mana dia makan/minum, disitu jugalah kotak/plastik/tin minuman dibuang. Lebih menyebabkan 'sakit jiwa' apabila melihat sebuah kereta yang bergerak di hadapan saya mencampak bungkusan makanan ringan air mineral keluar tingkap. Selamba betul dia buang sampah merata-rata tanpa segan silu, dan tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain pula tu. Uncivilised, inconsiderate and selfish!! Saya ingatkan cuma kes terpencil, rupanya ramai yang melakukan begitu.Cuba lihat dalam semak (yang sekangkang kera) pun boleh dijadikan kawasan lambakan sampah sarap yang menyakitkan permandangan.

Cuba lihat pula kawasan pasar malam, lagi hebat. Waktu malam mungkin tidak perasan. Tapi cuba jenguk di keesokan harinya, maka terserlah betapa kroniknya sikap pengotor sesetengah orang ni. Tandas awam Malaysia memang terkenal dengan ketidak bersihannya. Tak tahu mengapa hingga zaman yang konon moden dan canggih ini, masih ramai tidak tahu menggunakan tandas dengan betul. Sekalipun ada pencuci, bertanggungjawablah juga dalam menjaga kebersihannya. Cuba bayangkan jika kita yang kena mencuci kekotoran tersebut, sanggup tak?

Orang perempuan ni, satu kegemaran dia pula  tisu muka. Tapi macam tak pandai pula nak buang dengan betul tisu yang kotor tu. Dari tandas, pergi ke tempat wudhu' dan sampai ke surau/masjid.. ada sahaja tisu yang ditinggalkan di sinki, diselit-selit di paip tempat wudhu' tu atau dibuang di lantai. Bukankah Islam mengajar kebersihan? Tidak guna bermuka cantik, berbedak dan make-up sakan tapi kebersihan tidak di jaga. Tak ada maknanya! Bagi lelaki yang merokok pula, merokok tak kena tempat satu hal, puntung tu pula campak sesedap rasa. Memanglah tak beradab.

Jika lihat jiran terdekat kita, Singapura, sangat bersih. Saya amat kagum dengan kebersihan negara tersebut. Undang-undang tentang pembuangan sampah amat dititikberatkan, dan telah berjaya melahirkan masyarakat pembersih. Tapi bila masuk sahaja sempadan Malaysia.. hmm.. amat mendukacitakan.

Saya hairan kenapa sesetengah penduduk Malaysia ini begitu memandang mudah isu sampah sarap ini. Kenapa kesedaran sivik yang sangat asas ini susah di praktikan? Jadikanlah Malaysia negara yang bersih. Jadikanlah kebersihan budaya orang Malaysia

Tuesday, January 4, 2011

Niat dan Ikhlas

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs ibn Khattab r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah"
 (Riwayat Dua imam Muhaddisin – Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah ibn Bardizbah Al Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al Hujjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naisaburi dalam sahih keduanya).



Hadis ini adalah antara hadis yang terpenting dalam Islam yang merujuk tentang niat dan keikhlasan. Ikhlas adalah satu syarat untuk sesuatu amalan baik itu diterima oleh Allah.

"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya..."
(Surah Al-Bayyinah:5)

 
Mengatakan ikhlas itu mudah, tetapi memastikan perbuatan dan amalan kita adalah benar-benar ikhlas dan semata-mata kerana Allah tidak semudah itu. Ini kerana hati dan iman kita ini sering akan diuji, dan syaitan juga akan sentiasa membisikkan hasutan jahat. Kita mudah terpedaya dengan diri sendiri dengan merasakan sudah ikhlas dalam ibadah kita kepada Allah, tetapi tanpa sedar ikhlas kita sudah tercalar. Hanya Allah sahaja dapat menilai keikhlasan kita. Oleh itu kita perlu selalu berusaha untuk memastikan hati kita sentiasa ikhlas. Ikhlas itu bukan dari kata-kata, tapi lebih merupakan 'komitmen rahsia' antara kita dengan Allah SWT.


Walaupun niat asalnya ikhlas, tapi mungkin boleh terselit dengan unsur-unsur lain yang boleh menyebabkan kita tidak ikhlas, iaitu dengan timbulnya perassan riak, 'ujub, takbur dan sebagainya. Untuk mencapai ikhlas, kita perlu pastikan tidak terselit unsur-unsur syirik khafi atau syirik tersembunyi (iaitu menyekutukan Allah dengan benda atau makhluk lain, yang akan menyebabkan kita tidak ikhlas). Syirik khafi ini adalah kita melakukan amalan baik bukan kerana Allah tetapi untuk manusia lain, kepentingkan diri sendiri, atau mengikut hawa nafsu antaranya
  1. Untuk memperlihatkan dirinya baik di hati orang lain.
  2. Untuk mencari puji-pujian dan kecintaan dari orang lain.
  3. Untuk mengelak dari dihina orang lain.
  4. Untuk mendapat kemegahan daripada orang lain.
  5. Mengharapkan ganjaran, balasan, bantuan dari orang lain.

Pendek kata, jika kita hendak nilai kita ini ikhlas atau tidak, selalulah muhasabahlah kerana kebiasaanya, jika amalan itu tidak ikhlas kerana Allah (tetapi kerana 'hamba Allah'), kita akan mudah berpuas hati dengan 'kebaikan' yang dilakukan dan akan merasa sedih, terkilan, atau marah jika tidak dihargai dan dilupai oleh manusia.


Ikhlas itu perlu dididik dari hati: Antara yang boleh dilakukan untuk mendidik hati supaya ikhlas:
  • Dalam melakukan sesuatu, periksa niat (tujuan hati) – tanyakan diri sendiri: “Adakah ini semata untuk Allah?” atau terselit unsur-unsur syirik (riak, 'ujub, takbur) kerana amalan yang disertai syirik adalah sia-sia
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu: "Jika kamu mempersekutukan (Allah), nescaya akan hapuslah amalanmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi" (Az-Zumar:65)
  • Sesuatu amalan seharusnya dipandu dan disandarkan kepada Syariah, dan tidak bercampur dengan maksiat
  • Ingat Allah sentiasa memerhati kita.
  • Jangan diberi tanggapan yang salah – bermakna tidak membuat orang lain percaya bahawa tindakan salah kita adalah sesuatu yang baik. Perkara yang baik tetap baik, perkara yang salah tetap salah perlu disampaikan sebenarnya.
  • Bersangka baik dan pandanglah orang lain lebih baik dari kita. Jangan ada rasa kita paling baik, paling bagus, paling 'alim, paling betul kerana kita memang bukannya yang paling bagus.
  • Ingat semua amalan kita itu adalah dengan izin Allah. Iman, ilmu, gerak hati kekuatan dan keupayaan untuk melakukan sesuatu semuanya adalah kurniaan Allah. Jika Allah tak izin, kita tak mampu nak buat apa pun. 
  • Banyakkan doa dan zikir, mohon supaya Allah kurniakan ikhlas serta menjauhi kita dari penyakit hati dan dari bisikan syaitan
"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (Al 'araf: 201)