Wednesday, November 18, 2009

Duit Duit


Ada mengadu tak cukup duit, tapi berbelanja macam jutawan

Ada mengadu tak boleh menyimpan, tapi sebenarnya boros


Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja melebihi pendapatan. Apatah lagi jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah. Kadang-kadang berbelanja sampai tahap membazir ataupun barangan yang dibeli tak digunakan langsung.

Sikap membazir ini menggambarkan tingkah laku orang yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan ia merupakan amalan syaitan.

“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Israk: 26 – 27)


Ada pula terlalu sayang duit, sampai jadi kedekut


Meskipun digalakkan supaya berhemah, namun janganlah pula sampai ke tahap kedekut pula. Orang kata duit ni ‘berhantu’.Lagi banyak lagi rasa tak cukup. Kadang-kadang orang yang berharta menjadi semakin sombong dan tamak. Sepanjang masa terisi dengan aktiviti menimbunkan harta. Cinta kepada harta menebal sehingga ke tahap kedekut, hingga berat nak bersedekah dan mengeluarkan zakat. Orang yang beriman bukanlah orang yang kedekut seperti sabda Rasulullah,

“Tidak boleh berkumpul antara iman dan kikir di dalam hati orang yang beriman selama-lamanya.” (Hadis riwayat Ibn Adiy)


“Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Jadinya sebagai kesimpulan, Islam menggalakkan umatnya hidup dalam kesederhanaan dari semua aspek. Harta benda, wang ringgit bukan tujuan, tapi hanya sebagai alat. Jangan lupa keluarkan zakat kerana ia merupakan salah satu rukun Islam (bukan zakat fitrah saja yang wajib). Jangan lokek keluarkan sedekah, memberi makan dan menolong orang dalam kesusahan. Jangan mengharap balasan dalam setiap pertolongan. Dan janganlah berkira sangat dalam bab-bab duit muit ni. Dan janganlah pula mengungkit nanti jadi tak ikhlas dan timbul riak pula.

InsyaAllah dengan bersedekah dan berzakat, moga rezeki lebih berkat dan lebih murah. Sebagai penutup:


Rasulullah SAW bersabda, “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemah dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.” (Hadis riwayat al-Ibn an-Najjar)

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta mereka tidak melampaui batas (tidak boros) dan tidak pula bakhil, tetapi (sebaliknya perbelanjaan mereka dalam keadaan betul dan sederhana antara kedua-dua cara (boros dan kedekut)” [Al-Furqan: 67]



Wednesday, November 11, 2009

Kita hanya musafir

Saat kematian datang tanpa mengira
Sihat atau sakit
Tua atau muda
Kaya atau miskin

kerana

kita hanya musafir yang didatangkan
hanya sementara menghunikan alam
dan pasti akan dijemput untuk pulang


Al fatihah untuk yang telah tiada, semoga ditempatkan di kalangan orang yang beriman
Semoga yang ditinggalkan tabah dan sabar menghadapi kehilangan
Dan masa kita juga pasti akan tiba.. semoga Allah juga ampunkan dosa-dosa kita dan tempatkan kita dikalangan orang yang beriman.



"Ya Allah, kami memohon kepada Engkau keselamatan dalam agama, kesihatan badan, keberkatan rezeki, taubat sebelum ajal, kasih sayang saat ajal, keampunan setelah mati.
Ya Allah, mudahkanlah bagi kami saat menghadap sakaratul maut, keampunan ketika Hari Penghitungan, dan selamat dari api neraka.”

Monday, November 9, 2009

Go go chaiyok


Standing in the eye of the world

Pahit getir hidup dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi demi kejayaan
Terdidik sejak mula tabah berusaha
Tanpa cuba melangkah, tak kemana
Di mana kau berada pencapaian tak tiba dengan mudah

Kini "Standing In The Eyes Of The World"
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara dijiwa
Menanti saat bebas merdeka
Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul
Wajar "Standing In The Eyes Of The World"

Harapan yang pernah terkulai layu
Kembali segar mekar bawah bayanganmu
Setiap manusia ingin berjaya
Namun tak semua miliki tuah
Engkau menghampirinya
Kesempatan telah pun tiba



Saturday, October 31, 2009

Rahsia si Kung Fu Panda


Saya memang peminat kartun animasi. Baru-baru ini kami ke Warehouse, (Warehouse buat sale DVD), setelah membelek-belek deretan DVD jumpa Kung Fu Panda. Sudah lama teringin nak menonton animasi ini, tapi belum kesempatan menyewanya. Dengan harga DVD original NZD 6 memang murah!

Mulanya masa mula menonton saya tidak ada apa-apa
expectation. Tetapi nyata ini bukan cerita kosong tapi ada moral of the story.

Kita sering mencari resipi kejayaan. Rahsia kejayaan yang kita cari itu sebenarnya umpama rencah rahsia (secret recipe) turun temurun si Kung Fu Panda:

"The secret ingredient of my secret ingredient soup is . . . nothing. There is no secret ingredient!"

Dan itulah yang diulang-ulang dan diajar… tiada rahsia, ia bergantung pada diri kita sendiri.

“..To make something special you just have to believe it's special.

“..There is no secret ingredient. It's just you.”



Hidup sebenar tidaklah semudah seperti dalam cerita. Perlu berusaha, jalan pasti berliku dan berduri, sesekali akan tersungkur dan terjatuh, tapi yang penting tidak putus asa. Kena terus berusaha. Dan perlu sentiasa percaya pada diri sendiri
“InsyaAllah, aku boleh”


“THERE ARE NO SECRETS TO SUCCESS. IT IS THE RESULT OF PREPARATION, HARD WORK, AND LEARNING FROM FAILURE”
- Colin Powell

Saturday, October 10, 2009





اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحُزْنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”

Thursday, August 27, 2009

Penghayatan Ramadhan


Hari ini merupakan hari ke enam dalam bulan Ramadhan. Bulan yang lebih baik seribu bulan, bulan yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan. Berpuasa di bulan Ramadhan membawa pahala dan keuntungan bagi mereka yang melaksanakannya. Umat Islam di seluruh dunia kini begitu sibuk beribadah, termasuk menggandakan ibadat pada bulan yang mulia ini dengan amalan-amalan sunat seperti terawih dan tadarus.

Namun dalam keghairahan melaksanakan ibadah besar ini, terkadang kita terlupa falsafah sebenar berpuasa jesteru puasa yang dilaksanakan agak tersasar dari cara yang diredai Allah SWT. Sudah satu perempat bulan ramadhan ini berlalu, elok rasanya untuk kita semak nilai puasa dan tingkat iman kita.

Ramadhan adalah madrasah yang melatih diri supaya dapat mengawal diri dari nafsu mazmumah dan sifat-sifat buruk. Tetapi pelbagai bentuk perilaku yang ditegah oleh agama masih tidak dapat dikawal dalam bulan ini; secara sengaja atau tidak; seperti membazir, melalaikan solat, melakukan aktiviti yang melalaikan, menghabiskan waktu dengan melepak di jalanan. Semua perlakuan ini dilakukan dengan alasan kerana letih sambil menunggu waktu berbuka.

Seringkali perasaan malas menyelinap masuk atas alasan yang dijadikan sandaran bahawa puasa sering dikaitkan atau sinonim dengan penat dan istirehat, sehingga membawa kesan negatif kepada produktiviti kerja yang cenderung menurun dan pudar.

Menolak pelbagai alasan negatif di atas, madrasah Ramadan sebaliknya mendidik kita untuk mampu lebih survival dan lebih memiliki semangat juang dan daya tahan fizikal dan mental yang kuat. Allah SWT memerintahkan puasa untuk menguji manakah kalangan hambanya mencapai tingkat takwa.


Darjat puasa

Abu Hamid al-Ghazali berkata, Ramadan itu mempunyai tiga darjat:

  1. Puasa umum iaitu puasa menahan diri daripada syahwat.
  2. Puasa khusus iaitu puasa menahan pendengaran, penglihatan, tangan lidah dan semua anggota daripada dosa.
  3. Puasa khawas al-khawas iaitu puasa hati dari mengejar perkara yang keji dan memikirkan tentang perkara duniawi serta menjaga seluruh anggota dari segala bentuk dosa. Puasa yang ketiga inilah (khawas al-khawas) merupakan puasa hamba-hamba yang soleh.

Ciri-ciri puasa orang soleh:

  • Menjaga penglihatan dari perkara yang dibenci Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Pandangan itu merupakan panahan daripada panah-panah iblis la'natullah, sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakannya keimanan dan merasai kemanisan iman didalam hatinya. (riwayat al-Bukhari)


  • Menjaga lidah daripada berkata dusta, ghibah, mengadu-domba dengan sentiasa mengingati Allah SWT, dan membaca al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa janganlah dia berkata keji , jika ada yang memeranginya atau mencercanya maka katakanlah: Aku sedang berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).


  • Menjaga pendengaran dari perkara yang dibenci Allah SWT seperti mendengar perkara yang dusta. Justeru Allah SWT meletakkan kedudukan yang sama bagi pendengar kata dusta dan golongan yang suka memakan segala yang haram.

Firman Allah yang bermaksud: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). (al-Maidah: 42)


  • Menjaga seluruh anggota tubuh badan seperti tangan, kaki dan perut daripada perkara yang larang. Tidak memperbanyakkan hidangan atau juadah berbuka puasa sehingga menyebabkan berlaku pembaziran. Tidak memakan hidangan yang syubhat dan haram ketika berbuka puasa.

Berpuasa tapi tiada apa

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barangkali di kalangan hamba yang berpuasa tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada puasanya melainkan semata-mata lapar, dan barangkali di kalangan hamba yang melakukan qiam (qiamulail) tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada qiamnya melainkan berjaga malam semata-mata. (riwayat Ibn Majah)

Kalangan ulama berpendapat bahawa golongan yang dimaksudkan melalui hadis ini ialah pertama, iaitu orang yang berpuasa tetapi berbuka dengan makanan yang haram.

Kedua, orang yang menahan dari makanan yang halal dan berbuka dengan ghibah (memakan daging saudaranya) yang diharamkan.

Ketiga, orang yang tidak menjaga anggota tubuhnya daripada melakukan segala bentuk dosa. (al-Ghazali: Ihya' 'Ulum al-din)


Indahnya Ramadhan

Sesungguhnya, detik Ramadan apabila dijalani dengan penuh takwa, sabar di samping kerendahan hati mampu menyingkap hijab ketinggian hati dan kesombongan sehingga seorang Muslim akan mampu menerima segala tuntunan dan tuntutan agama ini dengan hati yang lapang.

Setiap amal kebaikan seorang Muslim selain puasa akan dibalas dengan ganjaran kebaikan yang tertentu dan setimpal. Adapun amalan puasa, tidak diketahui ganjarannya kecuali Allah.

Dalam sebuah hadis Qudsi Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: Allah telah berfirman: Sesungguhnya setiap amalan anak Adam itu adalah baginya melainkan puasa kerana puasa hanya untukKu, dan Akulah yang akan memberikan pahalanya. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim)

Seandainya peluang Ramadan dan pintu angan-angan dibukakan kesekian kalinya bagi ahli kubur, nescaya mereka meronta-ronta untuk hidup kembali meskipun hanya untuk sehari di bulan Ramadan.

Mereka mengimpikan rahmat Allah SWT, ingin kembali memperbaiki dan menampung ruang-ruang yang amalan yang cacat, menghidupkan siangnya dengan membaca al-Quran, menambah iman, menghidupkan malamnya dengan ibadah solat-solat sunat, berdoa, menangis, merintih memohon keampunan dan kebebasan dari neraka.

Wahai (hatiku) dan hati-hati yang sering lalai dan alpa, sesungguhnya peluang taubat bagimu terbentang luas. Di Ramadan ini Allah SWT sentiasa memanggil dan menghamparkan keampunan buat sekalian hambanya atas setiap dosa siang dan malamnya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Musa r.a Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu malam bagi pelaku kejahatan di siang hari, menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu siang bagi pelaku kejahatan di malam hari sehingga terbit matahari dari sebelah barat. (riwayat al-Imam Muslim)

Pendek kata sebagai kesimpulan renungan, apakah Ramadan yang bakal dijalani selama tempoh sebulan melalui tarbiyah intensif ini bakal menjanjikan satu transformasi positif dalam menghayati erti kata Ramadan yang sebenar atau sebaliknya?

Rebutlah peluang beribadah dan bertaubat menyesali setiap kesilapan selama Ramadan dan lentera keampunan Allah SWT terbuka luas, selama jantung berdegup.


Disunting dan diubah suai dari artikel Utusan


Friday, August 21, 2009

Marhaban Ya Ramadhan

Ahlan ya Ramadhan,

Semoga dikau menjadi madrasah untuk mentarbiah diriku ini menjadi hamba yang bertaqwa.
Semoga segala amalan pada Ramadhan ini diterima Allah, dan semoga terus istiqamah.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



******************************************
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua