Saturday, April 4, 2009

Persoalan sibuk

Ada beberapa soalan mudah yang saya tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya. Salah satu diantaranya ialah “Sibuk ke?”

Tidak kena dan malu rasanya untuk saya jawab “Ya” – Ini kerana ada ramai lagi orang yang lebih padat jadualnya, lebih besar tanggungjawabnya, lebih besar peranan dan sumbangannya dari saya.

Juga tidak kena dan malu rasanya untuk saya jawab “Tidak” – Ini kerana ia menunjukkan saya seorang yang tiada kerja, duduk goyang kaki dan tidak tahu menghargai masa.

Samada sibuk atau tidak, mungkin bukan itu persoalannya. Ini kerana, kita akan ditanya di akhirat kelak, bagaimana kita menghabiskan masa dan umur di dunia ini. Mungkin setiap orang perlu merasa ‘sibuk’, kerana sebenarnya begitu banyak perkara yang wajib, harus dan patut kita lakukan, dan masa kita di dunia ini amatlah singkat. Kita perlu megisi masa dengan hal-hal yang membawa faedah dan kebaikan.

Kita juga perlu berhati-hati agar tidak disibukkan dengan urusan dunia semata. Harus sentiasa beringat agar tidak memperuntukkan masa pada hal-hal yang lagha yang membawa kepada kemusnahan dan kerugian. Jangan pula menjadi orang yang terlalu sibuk sehingga tidak mengambil berat akan waktu solat, kewajipan dan tanggungjawab yang lain seolah-olah mempunyai kerajaan sebesar kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Jika kita terasa kita sibuk, pastikan ia kearah kebaikan. Jika kita rasa kita paling sibuk, ingatlah ada orang yang lebih sibuk melakukan perkara yang lebih besar dan hebat dari kita. (Ini penting supaya tidak merasa ‘ujub dengan diri sendiri).

Akhir sekali, pastikan kita bukan hanya sekadar menyibuk.