Thursday, August 27, 2009

Penghayatan Ramadhan


Hari ini merupakan hari ke enam dalam bulan Ramadhan. Bulan yang lebih baik seribu bulan, bulan yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan. Berpuasa di bulan Ramadhan membawa pahala dan keuntungan bagi mereka yang melaksanakannya. Umat Islam di seluruh dunia kini begitu sibuk beribadah, termasuk menggandakan ibadat pada bulan yang mulia ini dengan amalan-amalan sunat seperti terawih dan tadarus.

Namun dalam keghairahan melaksanakan ibadah besar ini, terkadang kita terlupa falsafah sebenar berpuasa jesteru puasa yang dilaksanakan agak tersasar dari cara yang diredai Allah SWT. Sudah satu perempat bulan ramadhan ini berlalu, elok rasanya untuk kita semak nilai puasa dan tingkat iman kita.

Ramadhan adalah madrasah yang melatih diri supaya dapat mengawal diri dari nafsu mazmumah dan sifat-sifat buruk. Tetapi pelbagai bentuk perilaku yang ditegah oleh agama masih tidak dapat dikawal dalam bulan ini; secara sengaja atau tidak; seperti membazir, melalaikan solat, melakukan aktiviti yang melalaikan, menghabiskan waktu dengan melepak di jalanan. Semua perlakuan ini dilakukan dengan alasan kerana letih sambil menunggu waktu berbuka.

Seringkali perasaan malas menyelinap masuk atas alasan yang dijadikan sandaran bahawa puasa sering dikaitkan atau sinonim dengan penat dan istirehat, sehingga membawa kesan negatif kepada produktiviti kerja yang cenderung menurun dan pudar.

Menolak pelbagai alasan negatif di atas, madrasah Ramadan sebaliknya mendidik kita untuk mampu lebih survival dan lebih memiliki semangat juang dan daya tahan fizikal dan mental yang kuat. Allah SWT memerintahkan puasa untuk menguji manakah kalangan hambanya mencapai tingkat takwa.


Darjat puasa

Abu Hamid al-Ghazali berkata, Ramadan itu mempunyai tiga darjat:

  1. Puasa umum iaitu puasa menahan diri daripada syahwat.
  2. Puasa khusus iaitu puasa menahan pendengaran, penglihatan, tangan lidah dan semua anggota daripada dosa.
  3. Puasa khawas al-khawas iaitu puasa hati dari mengejar perkara yang keji dan memikirkan tentang perkara duniawi serta menjaga seluruh anggota dari segala bentuk dosa. Puasa yang ketiga inilah (khawas al-khawas) merupakan puasa hamba-hamba yang soleh.

Ciri-ciri puasa orang soleh:

  • Menjaga penglihatan dari perkara yang dibenci Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Pandangan itu merupakan panahan daripada panah-panah iblis la'natullah, sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takut kepada Allah, Allah akan mengurniakannya keimanan dan merasai kemanisan iman didalam hatinya. (riwayat al-Bukhari)


  • Menjaga lidah daripada berkata dusta, ghibah, mengadu-domba dengan sentiasa mengingati Allah SWT, dan membaca al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa janganlah dia berkata keji , jika ada yang memeranginya atau mencercanya maka katakanlah: Aku sedang berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim).


  • Menjaga pendengaran dari perkara yang dibenci Allah SWT seperti mendengar perkara yang dusta. Justeru Allah SWT meletakkan kedudukan yang sama bagi pendengar kata dusta dan golongan yang suka memakan segala yang haram.

Firman Allah yang bermaksud: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). (al-Maidah: 42)


  • Menjaga seluruh anggota tubuh badan seperti tangan, kaki dan perut daripada perkara yang larang. Tidak memperbanyakkan hidangan atau juadah berbuka puasa sehingga menyebabkan berlaku pembaziran. Tidak memakan hidangan yang syubhat dan haram ketika berbuka puasa.

Berpuasa tapi tiada apa

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barangkali di kalangan hamba yang berpuasa tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada puasanya melainkan semata-mata lapar, dan barangkali di kalangan hamba yang melakukan qiam (qiamulail) tetapi tidak mendapat suatu pun (pahala) daripada qiamnya melainkan berjaga malam semata-mata. (riwayat Ibn Majah)

Kalangan ulama berpendapat bahawa golongan yang dimaksudkan melalui hadis ini ialah pertama, iaitu orang yang berpuasa tetapi berbuka dengan makanan yang haram.

Kedua, orang yang menahan dari makanan yang halal dan berbuka dengan ghibah (memakan daging saudaranya) yang diharamkan.

Ketiga, orang yang tidak menjaga anggota tubuhnya daripada melakukan segala bentuk dosa. (al-Ghazali: Ihya' 'Ulum al-din)


Indahnya Ramadhan

Sesungguhnya, detik Ramadan apabila dijalani dengan penuh takwa, sabar di samping kerendahan hati mampu menyingkap hijab ketinggian hati dan kesombongan sehingga seorang Muslim akan mampu menerima segala tuntunan dan tuntutan agama ini dengan hati yang lapang.

Setiap amal kebaikan seorang Muslim selain puasa akan dibalas dengan ganjaran kebaikan yang tertentu dan setimpal. Adapun amalan puasa, tidak diketahui ganjarannya kecuali Allah.

Dalam sebuah hadis Qudsi Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: Allah telah berfirman: Sesungguhnya setiap amalan anak Adam itu adalah baginya melainkan puasa kerana puasa hanya untukKu, dan Akulah yang akan memberikan pahalanya. (riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim)

Seandainya peluang Ramadan dan pintu angan-angan dibukakan kesekian kalinya bagi ahli kubur, nescaya mereka meronta-ronta untuk hidup kembali meskipun hanya untuk sehari di bulan Ramadan.

Mereka mengimpikan rahmat Allah SWT, ingin kembali memperbaiki dan menampung ruang-ruang yang amalan yang cacat, menghidupkan siangnya dengan membaca al-Quran, menambah iman, menghidupkan malamnya dengan ibadah solat-solat sunat, berdoa, menangis, merintih memohon keampunan dan kebebasan dari neraka.

Wahai (hatiku) dan hati-hati yang sering lalai dan alpa, sesungguhnya peluang taubat bagimu terbentang luas. Di Ramadan ini Allah SWT sentiasa memanggil dan menghamparkan keampunan buat sekalian hambanya atas setiap dosa siang dan malamnya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Musa r.a Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu malam bagi pelaku kejahatan di siang hari, menghamparkan keampunan (menerima taubat) pada waktu siang bagi pelaku kejahatan di malam hari sehingga terbit matahari dari sebelah barat. (riwayat al-Imam Muslim)

Pendek kata sebagai kesimpulan renungan, apakah Ramadan yang bakal dijalani selama tempoh sebulan melalui tarbiyah intensif ini bakal menjanjikan satu transformasi positif dalam menghayati erti kata Ramadan yang sebenar atau sebaliknya?

Rebutlah peluang beribadah dan bertaubat menyesali setiap kesilapan selama Ramadan dan lentera keampunan Allah SWT terbuka luas, selama jantung berdegup.


Disunting dan diubah suai dari artikel Utusan


No comments:

Post a Comment