Saya ingin berkongsi satu artikel yang saya kira baik dalam menerangkan perkara berkaitan sifat marah dan pemaaf. Moga membawa manfaat:
Jangan cepat terpedaya dengan bisikan syaitan ketika dalam marah. Ketika marah juga, mungkin ada yang mengambil kesempatan dan bertindak sebagai 'kaki cucuk' dan memburukkan lagi keadaan. Ketika sedang marah, fikiran dan emosi terganggu, hati juga panas, dan pastinya tindakan selalunya mengikut fikiran yang TIDAK WARAS. Kerana itu, jangan ambil apa-apa tindakan ketika kita marah, sebolehnya biarkan diri dan hati tenang dahulu. Dan ingatlah, sifat pemaaf dan menahan marah itu termasuk dalam kategori taqwa.
*******************************************************************************
MARAH adalah antara sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia, lahir apabila ada perkara yang tidak disukai, menyakitkan, merugikan atau tidak seperti dikehendaki berlaku terhadap diri. Lawan sifat marah ialah pemaaf.
Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap Muslim. Sifat itu mempunyai kesan besar dalam kehidupan kerana ia dapat menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam tindakan yang boleh mendatangkan penyesalan.
Kerugian atau keadaan yang tidak seteruk mana yang menjadi punca kemarahan boleh bertukar satu kerugian lebih besar jika kemarahan tidak dapat dikawal. Sifat pemaaf dapat meletakkan seseorang pada kedudukan tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Dia mendapat keuntungan untuk dirinya sendiri dan tidak pula mendatangkan keburukan kepada pihak lain.
Orang yang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun dia pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya secara positif. Mungkin pihak yang menyebabkan rasa marah itu tidak mempunyai niat melakukan perbuatan itu, melainkan kerana terpaksa atau tidak mempunyai pilihan lain. Dalam situasi begitu, sesiapa pun tidak dapat mengelak. Bagi mengelak timbul perasaan marah, jangan melihat sesuatu keadaan dengan terlalu serius sehingga memberi gambaran sebaliknya. Jangan cepat menyalahkan orang, sebaliknya fikirkan apakah kita mampu mengelaknya jika berada di sebelah pihak yang menyebabkan kemarahan itu. Marah akan menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal dan banyak keburukan akan terjadi.
Insan pemaaf dan berhati mulia tidak hanya memaafkan apabila pelakunya memohon maaf, bahkan bersikap terbuka.Jadi, sesiapa ingin membersihkan diri daripada sifat negatif haruslah terlebih dulu membuang sifat dendam. Orang yang kuat menahan sifat marahnya akan mudah memaafkan orang lain. Antara sifat orang yang bertaqwa adalah orang yang dapat mengawal marah dan memaafkan kesalahan orang lain, dan ganjarannya disediakan syurga seluas langit dan bumi, seperti Firman Allah:
".. Dan orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang."
(Surah al-Imran: 134)
Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang lebih baik. Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan. Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: "Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk."
Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan. Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: "Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah,sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya." (Hadis riwayat al-Hakim)
Rasulullah SAW juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah. Memang orang yang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu tetapi adalah lebih baik jika memberi kemaafan.
"Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim."
(Surah asy-Syura: 39-40)
Biarpun Islam membenarkan membalaskan kejahatan dengan kejahatan yang sama, adalah lebih baik jika diselesaikan secara memberi kemaafan. Ini bagi mengelak perkara buruk berterusan. Disebabkan membalas itu mungkin berlaku ketidakadilan apabila balasan dikenakan lebih teruk. Sebenarnya tidak rugi kita memaafkan orang lain. Apa yang berlaku sudah menjadi sejarah. Kita tidak mendapat apa-apapun daripada kemarahan yang ditunjukkan, bahkan menyebabkan kesan buruk kepada diri sendiri.
Syaitan pernah memberitahu Nabi Musa bagaimana dia mendekati manusia supaya melakukan perbuatan dilarang agama dengan katanya: "Tiga perempat daripada masa yang paling baik untuk aku menggoda manusia ialah sewaktu mereka dalam keadaan marah, kerana pada masa itu aku boleh mempermainkan hati mereka seperti sebiji bola."
Di sunting dari sumber: http://suarapolitik.com/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=2166
**********************************************************************************
No comments:
Post a Comment