Ajaran Islam merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia - lahir, batin, dunia dan akhirat. Secara idealnya, yang warak itu baik hatinya. Tetapi tidak semuanya begitu. Di manakah silapnya?
Selain daripada ilmu usuluddin, (atau tauhid), yakni ilmu yang mengkaji tentang ketuhanan, ajaran Islam juga terdiri dari ilmu fiqh (syariat) dan ilmu tasawuf (sufi).
Ilmu fiqh adalah ilmu yang berkaitan dengan hukum hakam. Ia terdiri daripada
Hukum-hukum ini meliputi dalam setiap lingkup bidang dan urusan kehidupan seperti fardu ain, sistem kewangan, munakahat, muamalat, fara’id dan lain-lain.
Ilmu tasawuf pula ialah bidang yang berkaitan dengan hati nurani. Hati manusia ini pula sentiasa berubah-ubah dan berbolak balik, kadang-kadang dalam bentuk mahmudah, kadang-kadang mazmumah.
Di antara rasa-rasa hati yang mahmudah (sifat positif) itu ialah ikhlas, takwa, tawaduk, ukhuwah, tawakal dan sebagainya. Sementara rasa hati yang mazmumah (sifat negatif) itu pula di antaranya riak, ujub, sombong, pemarah, hasad dengki, dendam, tamak, bakhil, buruk sangka dan lain-lain lagi.
Fiqh dan tasawuf adalah sama penting dan perlu seiring. Kita tidak boleh menolak salah satu atau mengambil salah satunya sahaja.
Imam Malik berkata,
“Barangsiapa berfeqah tanpa tasawuf, maka ia jadi fasik. Barangsiapa bertasawuf tanpa feqah, maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”
Apa yang dimaksudkan dengan berfeqah tanpa tasawuf, ialah seseorang itu hanya melakukan amalan-amalan lahir. Katalah semua rukun Islam itu beres dilakukannya. Ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat dan amal ibadat yang lain seperti berdakwah, belajar, mengajar, berziarah, bersedekah dan menutup aurat. Dia juga menjaga diri dari melakukan perkara-perkara yang haram dan makruh. Pendek kata, semua perintah atau larangan lahir ditaati, tetapi amalan batin yakni hatinya tidak dijaga dan diambil peduli.
Pada pandangan mata kasar, dia seorang yang sangat baik kerana hukum Islam yang lahir sangat dijaganya. Tapi hatinya penuh dengan perasaan mazmumah-riak, ujub, sombong, pemarah, dengki, cinta dunia dan lain-lain lagi sifat negatif mencorak sikapnya.. Walaupun pada zahirnya Nampak baik, tetapi di sisi Allah orang ini masih berdosa, kerana tidak menjaga hatinya. Orang-orang yang tidak menjaga hatinya ini, dikatakan fasik oleh Imam Malik.
Bertasawuf tanpa feqah pula bermaksud seseorang yang menjaga hati sahaja, tetapi menolak dan meninggalkan syariat. Katakanlah dia menjaga hati dari perasaan mazmumah di samping menyuburkan kasih sayang, simpati, tawakal, sabar dan lain-lain sifat mahmudah. Tetapi sayangnya, dia tidak melaksanakan rukun Islam, tidak mengamalkan yang wajib, dan tidak meninggalkan yang haram. Pada Imam Malik, orang ini dikatakan kafir zindiq iaitu kafir secara tidak sedar.
Kesimpulannya, Islam itu hanya akan sempurna jika mengamalkan syariat, dan menjaga hati secara serentak. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)
No comments:
Post a Comment