Wednesday, February 25, 2009

Penyakit bertangguh

Hari ni nak sembang pasal penyakit bertangguh pula. Megikut peribahasa Inggeris, Procrastination is the thief of time”.


Penyakit suka bertangguh ini tak sama dengan penyakit malas. Penyakit malas tu dipanggil berat tulang, sebab memang tak nak berusaha, dan mengharapkan kesenangan terhidang depan mata.


Berbeza dengan orang malas, orang yang suka bertangguh ini cuba mengelak dari membuat kerja sepatutnya. Sebagai contoh, dia patut buat perkara A. Tapi dia pi buat perkara B atau C atau D.


Kenapa pula jadi penyakit suka bertangguh? Sikap suka bertangguh ini sebenarnya berkait rapat dengan masalah psikologi. Selalunya seseorang itu bertangguh sebagai coping strategy apabila menghadapi kesukaran dalam kerja/tugasannya.


Adalah sesuatu yang normal jika kita ambil sedikit masa untuk unwind, rehat seketika untuk ‘recharge bateri’. Tapi ia boleh menjadi satu masalah besar jika tidak dikawal. Ini kerana, walaupun bertangguh itu merupakan coping strategy, ia sebenarnya boleh memburukkan lagi keadaan. Jika kita sering bertangguh kerja, kita akan jadi lebih tertekan, risau dan rasa bersalah kerana makin banyak kerja yang menimbun dan tertunda. Kalau kita sebagai pekerja, kita akan lebih risau kerana akan dimarahi oleh majikan. Kalau kita pelajar kita akan runsing bila berhadapan dengan pensyarah.


Untuk memastikan kita tidak menjadi mangsa penyakit suka bertangguh ini, yang pertama, kita perlu admit kita ada masalah ini. Kedua, cari punca dan penyelesaian masalah. Sekalipun kita benci dan stuck nak selesaikan kerja tu, kita kena hadapi juga. Berbekalkan doa, usaha dan tawakal, insyaAllah pasti akan menemui penyelesaian. Allah juga menyeru kita melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan memohon pertolongan dari-Nya:


“Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.”

(surah Al-Insyirah: 7-8)


Kalau kita tak cuba, sampai bila-bila pun takkan berjaya. A journey of a thousand miles begins with a single step.


Dan sebagai umat Islam, kita perlu sedar, sikap bertangguh ini berkait rapat dengan masa. Dan Allah telah memberi kita peringatan yang tegas tentang masa:


“Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian

(surah Al-Asr:1-2).


Rasulullah s.a.w.juga mengingatkan tentang lima perkara sebelum datang lima perkara; masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa kaya sebelum miskin dan masa hidupmu sebelum mati.


Semoga kita berjaya melawan penyakit bertangguh. Back to work!

Friday, February 20, 2009

Dunia Fatamorgana

Dunia ini dunia materialistik, di mana sebilangan besar manusia menjadikan harta, wang, pangkat, darjat sebagai kayu pengukur kejayaan dan kehebatan seseorang.

Sikap materialistik ini merupakan satu penyakit. Penyakit yang boleh menyerang dan menjangkiti sesiapa sahaja.


Penyakit materialistik ini juga boleh merangsangkan penyakit-penyakit lain pula: tamak, sombong, bangga diri, lupa diri, menunjuk-nunjuk, membazir dan sebagainya. Bukan itu sahaja, penyakit materialistic dalam masyarakat pula boleh membawa kepada budaya rasuah, pecah amanah, penyelewangan, fitnah, tikam belakang dan lain-lain kerana ingin mencari jalan singkat untuk cepat kaya.


Ini kerana bila nafsu sudah menguasai fikiran, kita sudah tidak peduli lagi batas-batas agama dan budaya. Seorang yang ‘berilmu’ juga boleh jadi bodoh bila terkena penyakit materialistic ini.


Bahaya penyakit materialistik ini kerana ia merebak dengan cepat dan dalam diam. Ini kerana agen-agen yang merangsang budaya hidup materialistik ini ada di sekeliling kita-Cuma antara kita sedar dan ambil peduli atau tidak sahaja. Jangan sesekali pandang remeh penyakit materialistik ini kerana ia tidak mengenal mangsa.


Cuba self-diagnose diri sendiri kot2 dah ada simptom2 penyakit materialistic:

  1. Apa tujuan sebenar kita beli sesuatu? Keperluan, kehendak, nafsu, atau untuk bermegah-megah?
  2. Kalau kita beli atas keperluan, adakah kita sengaja mencari yang mahal dan branded?
  3. Adakah kita berkawan dengan seseorang kerana taraf sosial dan ekonominya?
  4. Adakah kita pandang rendah pada kawan yang tidak ‘standard’ macam kita?
  5. Adakah mana-mana ‘socialite’, selebriti, artis yang menjadi ikut-ikutan kita?
  6. Adakah kita sanggup ketepikan agama dan prinsip hidup untuk menjadi seseorang yang elite? (Kalau ya, ni dah tahap kronik)

Banyak lagi sebenarnya, dan jauh di sudut hati kita, sebenarnya kita sendiri boleh menilai adakah kita materialistik atau tidak.


Budaya materialistik ini tiada dalam Islam. Jangan confuse materialistik dan keperluan umat Islam mencari harta. Umat Islam perlu berilmu dan kaya supaya tidak ditindas. Kita perlu ada harta supaya kita boleh laksanakan rukun Islam dengan sempurna. Kita juga perlu harta untuk hidup selesa. Cuma Allah dan Rasulullah selalu berpesan supaya kita tidak disilaukan dan disibukkan dengan harta dunia.


"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu,sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu),dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui. Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin,niscaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim, dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan 'ainulyaqin, kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)."

(Surah Al-Takaatsur: 1-8)


Fatamorgana-Hijaz

Pulanglah pada Tuhan, Cahaya Kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah

Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia
Cabaran dan Dugaan Mendewasakan Usia
Rintangan Dilalui Tambah Pengalaman Diri
Sudah sunnah Ketetapan Ilahi

Deras Arus Dunia Menghanyutkan Yang Terleka
Indah fatamorgana Melalaikan Menipu Daya
Dikejar Dicintai Bak Bayangan Tak Bertepi
Tiada Sudahnya Dunia Yang Dicari

Begitu Indah Dunia

Siapa Pun Kan Tergoda
Harta Pangkat dan Wanita Melemahkan Jiwa
Tanpa Iman Dalam Hati Kita Kan Dikuasai
Syaitan Nafsu Dalam Diri Musuh Yang Tersembunyi
Pulanglah Kepada Tuhan Cahaya Kehidupan
Keimanan Ketakwaan Kepada Nya Senjata Utama

Sabar Menempuh Jalan Tetapkan Iman Di Hati
Yakinkan Janji Tuhan Syurga Yang Sedia Menanti
Imanlah Penyelamat Dunia Penuh Pancaroba
Hidup Akhirat Kita Kekal Bahagia

Saturday, February 14, 2009

Seiring dan sejalan-hati dan amalan

Dalam masyarakat kita sering berlaku di mana orang yang kelihatannya warak, tapi busuk hati. Dan kadang-kadang orang yang suka bersedekah atau menolong orang, tidak pula solat atau berpuasa. Kadang-kadang, mungkin secara tidak sedar, kita pun terselit juga perangai yang serupa, sebagai contoh, berpuasa tapi mengumpat, solat tapi riak.

Ajaran Islam merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia - lahir, batin, dunia dan akhirat. Secara idealnya, yang warak itu baik hatinya. Tetapi tidak semuanya begitu. Di manakah silapnya?


Selain daripada ilmu usuluddin, (atau tauhid), yakni ilmu yang mengkaji tentang ketuhanan, ajaran Islam juga terdiri dari ilmu fiqh (syariat) dan ilmu tasawuf (sufi).


Ilmu fiqh adalah ilmu yang berkaitan dengan hukum hakam. Ia terdiri daripada lima hukum iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.


Hukum-hukum ini meliputi dalam setiap lingkup bidang dan urusan kehidupan seperti fardu ain, sistem kewangan, munakahat, muamalat, fara’id dan lain-lain.


Ilmu tasawuf pula ialah bidang yang berkaitan dengan hati nurani. Hati manusia ini pula sentiasa berubah-ubah dan berbolak balik, kadang-kadang dalam bentuk mahmudah, kadang-kadang mazmumah.


Di antara rasa-rasa hati yang mahmudah (sifat positif) itu ialah ikhlas, takwa, tawaduk, ukhuwah, tawakal dan sebagainya. Sementara rasa hati yang mazmumah (sifat negatif) itu pula di antaranya riak, ujub, sombong, pemarah, hasad dengki, dendam, tamak, bakhil, buruk sangka dan lain-lain lagi.


Fiqh dan tasawuf adalah sama penting dan perlu seiring. Kita tidak boleh menolak salah satu atau mengambil salah satunya sahaja.


Imam Malik berkata,

“Barangsiapa berfeqah tanpa tasawuf, maka ia jadi fasik. Barangsiapa bertasawuf tanpa feqah, maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”


Apa yang dimaksudkan dengan berfeqah tanpa tasawuf, ialah seseorang itu hanya melakukan amalan-amalan lahir. Katalah semua rukun Islam itu beres dilakukannya. Ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat dan amal ibadat yang lain seperti berdakwah, belajar, mengajar, berziarah, bersedekah dan menutup aurat. Dia juga menjaga diri dari melakukan perkara-perkara yang haram dan makruh. Pendek kata, semua perintah atau larangan lahir ditaati, tetapi amalan batin yakni hatinya tidak dijaga dan diambil peduli.


Pada pandangan mata kasar, dia seorang yang sangat baik kerana hukum Islam yang lahir sangat dijaganya. Tapi hatinya penuh dengan perasaan mazmumah-riak, ujub, sombong, pemarah, dengki, cinta dunia dan lain-lain lagi sifat negatif mencorak sikapnya.. Walaupun pada zahirnya Nampak baik, tetapi di sisi Allah orang ini masih berdosa, kerana tidak menjaga hatinya. Orang-orang yang tidak menjaga hatinya ini, dikatakan fasik oleh Imam Malik.


Bertasawuf tanpa feqah pula bermaksud seseorang yang menjaga hati sahaja, tetapi menolak dan meninggalkan syariat. Katakanlah dia menjaga hati dari perasaan mazmumah di samping menyuburkan kasih sayang, simpati, tawakal, sabar dan lain-lain sifat mahmudah. Tetapi sayangnya, dia tidak melaksanakan rukun Islam, tidak mengamalkan yang wajib, dan tidak meninggalkan yang haram. Pada Imam Malik, orang ini dikatakan kafir zindiq iaitu kafir secara tidak sedar.


Kesimpulannya, Islam itu hanya akan sempurna jika mengamalkan syariat, dan menjaga hati secara serentak. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)

Wednesday, February 11, 2009

Ujian kesabaran

Dalam hidup ini sebenarnya, banyak perkara yang menuntut supaya kita bersabar. Cuma antara sedar atau tidak sahaja, sebenarnya kesabaran kita sedang diuji..


Secara umunya, dalam Islam, kita dituntut untuk bersabar dalam 4 perkara:

* dalam mengerjakan amal ibadat kepada Allah;

* dalam menghadapi cubaan, bala, kesusahan atau musibah;

* dalam menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;

* dalam memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan.


Ujian kesabaran ini pula datang dalam pelbagai rupa dan bentuk.. Setiap orang sentiasa diuji sama ada kita ni sabar ke tidak menghadapi ujian itu.


Pernah seorang kawan berkata, lebih kurang gini le ayat dan maksudnya, “Setiap orang ni, dalam hidup dia akan datang satu ujian besar” Dan beliau ni konon-kononya belum lagi menghadapi ujian itu, dan risau apakah bentuk ujian yang akan di hadapinya, malah seolah ternanti2 pula.. Saya ni bukan lah bijak pandai dalam bab2 ini, tapi saya terfikir, bukankan setiap apa yang berlaku itu satu ujian.. bukan hanya musibah dan kesusahan saja yang menjadi ujian, malah kelapangan, kesenangan, kemudahan, kemewahan dan kebijaksanaan juga satu ujian, kerana mungkin kita tidak bersyukur, mungkin kita jadi riak dan ujub, mungkin kita jadi sombong dan angkuh....


Dalam kes rakan yang lain pula, merasakan bahawa “begitu banyak ujian yang dihadapinya, seperti tidak putus-putus”. Ujian merupakan tanda kasih sayang Allah pada kita kerana selalunya bila kita diuji, bila kita sakit, bila kita sedih, di saat itulah kita lebih dekat pada Allah kerana kita merayu-rayu bantuan dan pertolongannya. Dan ditakuti bila kita megeluh dengan ujian yang diberikan, kita 'terlepas pandang' nikmat dan rahmat yang Allah berikan. Bukankah di sebalik setiap kesusahan ada kesenangannya? (Al Insyirah:5-6)


Malangnya kita, kalau sudahlah tak ingat dengan Allah pada masa senang, masa susah pun sombong juga dengan Allah. Minta dijauhkan...


Walaupun begitu, ramai juga orang yang diuji dengan Allah, dengan ujian yang lebih berat, dan mungkin kita sendiri tak mampu hadapi, jika ia berlaku pada kita. Saya amat kagum dan sebaiknya dapat mengambil pengiktibaran di atas kesabaran dan keteguhan iman mereka ini.


Setiap ujian itu sebenarnya memberi persediaan emosi dan mental untuk ujian seterusnya.. kerana ia menjadikan kita lebih matang, kita juga menjadi manusia yang lebih peka, memahami, lebih bersimpati dan empati terhadap orang lain. Di saat susah juga, kita tahu siapa sebenarnya kawan sejati. Dan yang paling utama di saat ujian itu datang, kita lebih dekat dengan Allah, dan kita sedar kita tidak berseorangan kerana Allah ada bersama orang-orang yang sabar.


Kadangkala berhadapan dengan rakan-rakan (atau ahli keluarga) juga boleh menguji kesabaran terutama jika rakan itu tidak tahu atau tidak peduli hubungannya dengan rakan-rakan yang lain. Cakap main redah, tanpa memikirkan perasaan orang, mengumpat, tikam belakang atau cakap ikut sedap mulut, lepas tu suka pula menambah perisa untuk meyedapkan rasa dalam ceritanya. Sebaiknya jauhkan diri sahaja dengan orang sebegitu. Selagi tidak menjatuhkan maruah kita yang menuntut supaya kita membersihkan nama, lebih baik kita berdiam diri sahaja dari melayan orang-orang sebegini, supaya perangai itu tidak terpalit pada kita.


"Dan Kami jadikan sebahagian kamu cubaan bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar?" (Al Furqaan:20)