Tuesday, November 29, 2011

Hamba Mu

Love the lyrics...


Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah
HambaMu Allah

Sekiranya takdir menguji
Cekalkanlah hasrat di hati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus asa

Usaha dengan doa
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah

Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang (Allah)
Tunjukkan jalan seandainya hilang (Allah)
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisiMu ku berserah
Terimalahku hambaMu Allah
HambaMu Allah
HambaMu Allah


Monday, November 28, 2011

Muharam datang lagi.. 1433H

Alhamdulillah kerana Allah masih memberi peluang untuk meyambut tahun baru. Masih diberi peluang untuk hidup di dunia fana' ini dan diberi ruang untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Sering yang dikaitkan dengan Muharam adalah hijrah.. Dan falsafah hijrah Rasullullah 1433 tahun dulu perlu dihayati, malah semakin signifikan dalam menempuh cabaran hidup akhir zaman ini.

Hijrah seharusnya sentiasa kearah pembaikan diri. Ia adalah suatu proses mujahadah, dan proses ini melibatkan beberapa perkara penting:

1. Tujuannya harus kerana iman dan Islam.
2. Hijrah menuntut pengorbanan
3. Hijrah memerlukan persediaan
4. Perlu disertakan dengan sabar



"Sesiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim).  

"Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)."
(Al-Baqarah: 269) 


Kefahaman agama bukan sekadar ilmu pengetahuan. Kerana itulah, ramai yang tahu tetapi tiada perubahan diri. Faham agama membawa maksud yang lebih mendalam.  Kefahaman dalam agama menuntut kita melaksanakan semua yang dituntut dalam agama.

Semoga kita semua diberi kefahaman dalam agama dan kekuatan dalam melaksanakannya secara istiqamah.

Saturday, November 26, 2011

Bagaimana Menyambut Hari-harimu

Ketahuilah! Bahawa dalam hari-harimu ada kesempatan.
Maka, manfaatkanlah dan jangan engkau menunda-nunda kebaikan hingga hari esok.
Jika kelmarin engkau berbuat dosa,maka lipatgandakanlah kebaikan, niscaya engkau akan terpuji.
Jika engkau manfaatkan hari-harimu, maka faedahnya akan kembali kepadamu.
Hari kelmarin telah berlalu, tak mungkin akan kembali.         
Janganlah engkau menunda-nunda kebaikan hingga esok.
Mungkin hari esok akan hadir, namun engkau telah tiada

Wahai orang-orang yang menjadikan hari-harinya sebagai tunggangan syahwat belaka, sedar dan ketahuilah! Bahawa umur meskipun terasa panjang, namun hari-harimu sentiasa menuruti dan tidak ada setelah itu, kecuali kematian. Maka bersegeralah bermuhasabah diri dan berubahlah!

Sesungguhnya, dunia merupakan tempat tipuan. Tidaklah ada yang mempercayainya kecuali orang jahil dan lalai.

* Jalanilah hari-harimu dengan niat yang benar, berazam (bertekad) berbuat taat, menjauhi maksiat dan tidak lupa meminta kepada Allah taufikNya menuju keredhaanNya.
* Janganlah melupakan zikir kepada Allah, dan janganlah ada hari yang berlalu tanpa zikrullah.
* Laksanakanlah perintah-perintah Allah yang telah diwajibkan kepadamu
* Tahanlah sifat yang merugikan kaum muslimin. Berikanlah kasih-sayang kepada orang-orang lemah dan ajarilah orang yang tidak mengetahui.
* Tersenyumlah di hadapan kaum muslimin kerana itu merupakan sedekah.
* Jadikanlah dirimu sebagi orang yang suka memberi nasihat di hadapan muslimin, dan jangan melalaikan mereka.
* Cintailah kebaikan pada kaum muslimin, sebagaimana engkau mencintai kebaikan untuk dirimu sendiri.
* Janganlah meremehkan amal kebaikan, meskipun hal itu remeh menurutmu.
* Jauhilah tempat-tempat syubhat (merugikan), dan menjauhlah dengan membawa agamamu, sehingga engkau tidak akan terkesan dengan syubhat itu.
* Jauhkanlah dirimu dari segala sesuatu yang bisa menyeretmu ke dalam kemaksiatan kepada Allah, atau yang dapat mendekatkan dirimu ke dalam maksiat.
* Berniatlah selalu untuk berbuat kebaikan dan menjauhi yang haram. Ketahuilah, bahwa di dalam niat berbuat baik terdapat balasan dan pahala.
Dari sumber ini ...
 

Friday, November 25, 2011

Muhasabah di hujung tahun

Perkongsian dari slot Ad-Daurah IKIM.fm bersama Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri sempena menyambut tahun baru hijrah 1433, dan sedikit tambahan dari sumber-sumber lain

Muhasabah: perhitungan/audit diri
Perkara yang dimuhasabahkan adalah dari segi iman, ilmu dan amal.

"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (oleh Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (oleh Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".
-Saidina Umar Al-Khatab

Penting untuk muhasabah diri kerana semua perkara akah dihisab di hari akhirat tidak kira perkara kecil atau besar. Muhasabah perlu dilakukan dengan kerap kerana ia satu usaha pembaikan diri.Orang yang hebat ialah orang yang bermuhasabah setiap hari, (jika tidak, setiap minggu, bulan atau paling tidak setiap tahun). Dengan muhasabah, kita dapat mengetahui segala kelemahan untuk diinsafi, bertaubat, jauhi dan diperbaiki. Manakala perkara yang baik haruslah untuk disyukuri.


Orang-orang soleh selalu bermuhasabah terhadap dirinya.Beberapa kepentingan dan kelebihan muhasabah:
1. Supaya tidak melakukan kesilapan yang sama
Sabda Rasullullah “Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali" (HR Bukhari dan Muslim).

2. Supaya dapat membuat perancangan dan strategi untuk memperbaiki kelemahan

3. Supaya lebih berwaspada dengan perangkap dosa. Tanpa muhasabah mungkin kita menyangka kita sentiasa betul.
"...Syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan  mereka. (Surah Muhammad: 25)
"Syaitan sentiasa menghiasi kesalahan dan memanjangkan  angan-angan bagi mereka."  -Hassan Al Bashri

4. Dengan muhasabah akan berlakunya peningkatan diri.

Untuk memastikan muhasabah kita tidak sia-sia, ia perlu disertai dengan praktikal dan istiqamah. Kadang-kadang kita jadi kecewa kerana azam tahun baru selalu tidak menjadi. Oleh itu, bina azam-azam yang kecil supaya dapat mencapai  azam-azam yang besar. Jangan putus asa, teruskan berazam untuk jadi lebih baik, Teruskan berusaha, berdoa dan berharap dan redha dengan ketentuan. Yakin Allah akan beri yang terbaik untuk kita.



NB: Tentang doa tahun baru: Doa sememangnya disaran oleh Rasulullah, tetapi harus diingat tahun hijrah hanya bermula semasa pemerintahan Saidina Umar. Pada pendapat Dr Zulkifli, amalan bacaan doa akhir dan awal tahun secara beramai-ramai itu tidak salah, malah Dr Zulkifli mencadangkan doa-doa itu lebih 'personal' dan kita berdoa meminta kebaikan supaya dapat memberi kebaikan. (Eg. mohon kaya supaya dapat lebih banyak disedekahkan, sihat supaya lebih banyak dapat beribadah etc)

Tuesday, November 22, 2011

Nadwah "Utamakan yang utama"

Alhamdulillah hari ini cuti umum-Hari Keputeraan Sultan Johor. Pagi ini kami berpeluang menghadiri satu program nadwah anjuran IKRAM JBT bertajuk "Utamakan yang utama" berdasarkan kupasan Fiqh Aulawiyat (Keutamaan) Sheikh Dr. Yusuf Qardhawi dan juga berkaitan dengan Fiqh Muwazanah (Pertimbangan)

Kita sering berada dalam dilema dalam menentukan yang utama. Pengurusan masa adalah penting dalam menentukan kita manusia yang hebat dan berjaya. Dan orang yang berjaya adalah orang yang dapat melaksanakan pekerjaannya mengikut keutamaan. Mengutamakan yang utama telah lama diajar oleh para Nabi dan Rasulullah dan telah dipraktikkan oleh tokoh-tokoh Islam yang hebat. Kerana itulah Islam berada dalam zaman kegemilangannya. Sayangnya, umat Islam sekarang telah hilang 'prioriti' atau keutamaanya. Kita  sering berada dalam situasi di mana kita tidak dapat menguruskan apa yang lebih utama dan Fiqh Aulawiyat ini dapat memberi panduan kepada kita apabila berhadapan dengan isu-isu kemaslahatan (perkara-perkara yang membawa kebaikan)



Salah seorang ahli panel, Hajjah Sumilah Marto berkongsi tentang keutamaan dari perspektif wanita. Zainab Al-Ghazali mengatakan adalah lebih aula (utama) bagi wanita berbicara, berdakwah dan menjadi wakil kepada wanita kerana wanita lebih faham tentang isu-isu wanita (Al Imran:104). Dan bagi menjadi da'ie adalah penting bagi isteri mendapat izin dari suaminya dan perlu adanya kesefahaman dan tolak ansur dalam rumahtangga bagi wanita yang ingin menceburi bidang dakwah untuk terlibat dalam bidang dakwah.


Perkara-perkara yang harus dipertimbangkan dalam mengutamakan yang paling utama:
1. Yang wajib vs sunat
2. Perkara pokok vs cabang
3. Tarbiyah dan dakwah (tarbiyah penting supaya tidak menimbulkan fitnah kepada agama)
4. Ilmu (ilmu mesti melahirkan amal)
5.Kualiti
6. Kesihatan

Dalam menentukan keutamaan, yang penting adalah matlamat, ikhlas, kesungguhan dan pengorbanan.

Kupasan ringkas yang baik di sini




"Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita,
oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya"
-Hassan Al-Banna

“Peredaran masa sesuatu yang aneh, tetapi lebih aneh orang yang membiarkan sahaja ianya berlalu.” -Imam Syafie