Lidah (tidak bisu, dan boleh bercakap) adalah antara nikmat yang paling berharga dalam hidup. Pada masa yang sama merupakan ujian yang besar juga terutama bila tak pandai menjaganya.
Saya cuba untuk lebihkan diam dan kurang bercakap kerana sedar betapa perkataan boleh menjadi satu senjata yang merbahaya. Bukan kerana nature saya yang bermulut laser, atau bergurau melebihi batas, malah kebanyakkan tanggapan awal orang terhadap saya lebih kepada serius dan skema. Tetapi selalunya berlaku kata-kata kita itu lebih cepat diputar belit dan disalah anggap.Dan lebih tragis apabila kata-kata itu disampaikan pula pada orang lain, kononnya dari kita padahal kita tak cakap macam tu pun. Silap-silap boleh menimbulkan rasa tidak senang dan perselisihan pula.
Maka saya memilih untuk diam. Tetapi timbul pula satu isu lain. Bila kita diam, maka timbul pula cerita dan spekulasi yang tidak pernah terfikir oleh diri saya sendiri. Betapa kreatifnya manusia mereka cerita, menunjukkan betapa busuknya hati manusia.
Hidup ini akan sentiasa dihiasi dengan pengalaman. Dalam sedih dan pedih hati saya menerima ujian kerana mulut, saya bersyukur dengan pelajaran yang saya perolehi darinya.
Pertama, saya terima kelemahan saya yang kurang pandai berbicara dan menyampaikan maksud hati sampai orang terus terpegun mendengar atau terus faham maksud hati yang ingin saya sampaikan.Ia menjadikan saya lebih berhati-hati dalam menjaga mulut sendiri.
Kedua, saya juga belajar apa saja cerita yang kita dengar tentang orang lain tidak perlulah percaya terus, sebab selalunya dan kebanyakkannya telah ditambah perisa dan mengikut interpretasi si penyampai cerita. Terimalah dengan hati dan minda yang terbuka, dengan tiada prejudis dan buruk sangka. Dan paling penting, tidak perlulah menjadi penyampai pula cerita yang tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Tambah-tambah bila melibatkan aib orang, lebih baik disimpan. Jika salah, boleh jatuh dosa fitnah.
Ketiga, apabila kata-kata kita diputar belit oleh orang atau diam kita disalah tafsir, pasrah dan berserah saja pada Allah. Jika melibatkan maruah atau sesuatu perkara yang rasanya perlu untuk diperbetulkan, kenalah juga pertahankan hak kita supaya tidak ditindas atau dipandang serong oleh orang. Tetapi dengan cara yang paling berhikmah dan tidak menjatuhkan air muka sendiri. Kadang-kadang orang bila dah marah macam perkataan kesat keluar, sudahnya sama saja taraf dengan orang yang dimarahi. Jika tidak mampu mempertahankan diri, bersabar dan berdoa kepada Allah. Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Dan ingatkan diri bahawa pandangan Allah pada kita adalah lebih utama.
Keempat, pendapat kita tak semestinya betul. Tidak perlulah beria-ia mempertahankannya. Dan kadang-kadang kata-kata itu berasaskan prejudis, sombong, riak atau 'ujub.
Saya pasti banyak lagi pengajarannya tapi mata sudah berat dan kepala sudah berat untuk berfikir malam ini :)
(Tak jadilah plan nak stay up burning the midnight oil malam ni nampaknya)
Sebagai penutup, beberapa perkongsian hadis2 Rasullulah SAW mengenai kelebihan diam:
"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya".
( Riwayat Abu Naim )
"Barangsiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". ( Riwayat Bukhari & Muslim )
"Barangsiapa diam maka ia terlepas dr bahaya".
( Riwayat AtTarmizi)
Saya masih belajar untuk bermuhajadah dengan nikmat lidah dan mulut saya...
No comments:
Post a Comment