Wednesday, November 18, 2009

Duit Duit


Ada mengadu tak cukup duit, tapi berbelanja macam jutawan

Ada mengadu tak boleh menyimpan, tapi sebenarnya boros


Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja melebihi pendapatan. Apatah lagi jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah. Kadang-kadang berbelanja sampai tahap membazir ataupun barangan yang dibeli tak digunakan langsung.

Sikap membazir ini menggambarkan tingkah laku orang yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan ia merupakan amalan syaitan.

“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Israk: 26 – 27)


Ada pula terlalu sayang duit, sampai jadi kedekut


Meskipun digalakkan supaya berhemah, namun janganlah pula sampai ke tahap kedekut pula. Orang kata duit ni ‘berhantu’.Lagi banyak lagi rasa tak cukup. Kadang-kadang orang yang berharta menjadi semakin sombong dan tamak. Sepanjang masa terisi dengan aktiviti menimbunkan harta. Cinta kepada harta menebal sehingga ke tahap kedekut, hingga berat nak bersedekah dan mengeluarkan zakat. Orang yang beriman bukanlah orang yang kedekut seperti sabda Rasulullah,

“Tidak boleh berkumpul antara iman dan kikir di dalam hati orang yang beriman selama-lamanya.” (Hadis riwayat Ibn Adiy)


“Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Jadinya sebagai kesimpulan, Islam menggalakkan umatnya hidup dalam kesederhanaan dari semua aspek. Harta benda, wang ringgit bukan tujuan, tapi hanya sebagai alat. Jangan lupa keluarkan zakat kerana ia merupakan salah satu rukun Islam (bukan zakat fitrah saja yang wajib). Jangan lokek keluarkan sedekah, memberi makan dan menolong orang dalam kesusahan. Jangan mengharap balasan dalam setiap pertolongan. Dan janganlah berkira sangat dalam bab-bab duit muit ni. Dan janganlah pula mengungkit nanti jadi tak ikhlas dan timbul riak pula.

InsyaAllah dengan bersedekah dan berzakat, moga rezeki lebih berkat dan lebih murah. Sebagai penutup:


Rasulullah SAW bersabda, “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemah dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.” (Hadis riwayat al-Ibn an-Najjar)

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta mereka tidak melampaui batas (tidak boros) dan tidak pula bakhil, tetapi (sebaliknya perbelanjaan mereka dalam keadaan betul dan sederhana antara kedua-dua cara (boros dan kedekut)” [Al-Furqan: 67]



No comments:

Post a Comment