Saturday, May 23, 2009

Mengemis Kasih

"Tuhan dosaku menggunung tinggi
Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi

Tuhan, walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaKu"


Ya Allah, aku mohon kasihMu, aku mohon belas ihsanMu, aku mohon pertolongan dari Mu.

Ya Allah, tabahkanlah hatiku dalam menghadapi ujian Mu.

Aku sedar ujian itu adalah tanda kasih sayangMu, sebagai kesedaran dan balasan atas dosa-dosaku.

Ya Allah, di masa senang aku mudah alpa dan jauh dari Mu; lalu Kau berikan ujian dan kesusahan supaya aku kembali padaMu.

Ya Allah, sesungguhnya aku harus bersyukur dengan ujian yang Kau berikan padaku, kerana ia mendekatkan hatiku padaMu.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, terimalah doa dari hambaMu yang fakir ini. Apa sahaja yang berlaku dan tidak berlaku adalah atas izinMu. Apa sahaja kesudahan dari ujian ini, jadikanlah ia sebagai sesuatu yang menambah imanku. Baik dan buruk sesuatu perkara hanya Engkau yang lebih mengetahui. Jika ia berkesudahan yang buruk (dari kaca mataku), Kau jagalah hati dan imanku agar tidak terpesong dari Mu. Jika ia berkesudahan yang baik, Kau jagalah hati dan imanku, agar aku sentiasa bersyukur dan sedar bahawa segalanya adalah atas izin dan pertolonganMu.

Jadikanlah aku hambaMu yang tabah dan sabar sentiasa, Ya Allah. Aku sedar aku manusia yang terlalu lemah dan sering lalai. Janganlah Kau murka padaku, Ya Allah. Janganlah tinggalkan aku, Ya Allah.


"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran". (Al-Baqarah: 186).

No comments:

Post a Comment