Tuesday, January 4, 2011

Niat dan Ikhlas

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs ibn Khattab r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah"
 (Riwayat Dua imam Muhaddisin – Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah ibn Bardizbah Al Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al Hujjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naisaburi dalam sahih keduanya).



Hadis ini adalah antara hadis yang terpenting dalam Islam yang merujuk tentang niat dan keikhlasan. Ikhlas adalah satu syarat untuk sesuatu amalan baik itu diterima oleh Allah.

"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya..."
(Surah Al-Bayyinah:5)

 
Mengatakan ikhlas itu mudah, tetapi memastikan perbuatan dan amalan kita adalah benar-benar ikhlas dan semata-mata kerana Allah tidak semudah itu. Ini kerana hati dan iman kita ini sering akan diuji, dan syaitan juga akan sentiasa membisikkan hasutan jahat. Kita mudah terpedaya dengan diri sendiri dengan merasakan sudah ikhlas dalam ibadah kita kepada Allah, tetapi tanpa sedar ikhlas kita sudah tercalar. Hanya Allah sahaja dapat menilai keikhlasan kita. Oleh itu kita perlu selalu berusaha untuk memastikan hati kita sentiasa ikhlas. Ikhlas itu bukan dari kata-kata, tapi lebih merupakan 'komitmen rahsia' antara kita dengan Allah SWT.


Walaupun niat asalnya ikhlas, tapi mungkin boleh terselit dengan unsur-unsur lain yang boleh menyebabkan kita tidak ikhlas, iaitu dengan timbulnya perassan riak, 'ujub, takbur dan sebagainya. Untuk mencapai ikhlas, kita perlu pastikan tidak terselit unsur-unsur syirik khafi atau syirik tersembunyi (iaitu menyekutukan Allah dengan benda atau makhluk lain, yang akan menyebabkan kita tidak ikhlas). Syirik khafi ini adalah kita melakukan amalan baik bukan kerana Allah tetapi untuk manusia lain, kepentingkan diri sendiri, atau mengikut hawa nafsu antaranya
  1. Untuk memperlihatkan dirinya baik di hati orang lain.
  2. Untuk mencari puji-pujian dan kecintaan dari orang lain.
  3. Untuk mengelak dari dihina orang lain.
  4. Untuk mendapat kemegahan daripada orang lain.
  5. Mengharapkan ganjaran, balasan, bantuan dari orang lain.

Pendek kata, jika kita hendak nilai kita ini ikhlas atau tidak, selalulah muhasabahlah kerana kebiasaanya, jika amalan itu tidak ikhlas kerana Allah (tetapi kerana 'hamba Allah'), kita akan mudah berpuas hati dengan 'kebaikan' yang dilakukan dan akan merasa sedih, terkilan, atau marah jika tidak dihargai dan dilupai oleh manusia.


Ikhlas itu perlu dididik dari hati: Antara yang boleh dilakukan untuk mendidik hati supaya ikhlas:
  • Dalam melakukan sesuatu, periksa niat (tujuan hati) – tanyakan diri sendiri: “Adakah ini semata untuk Allah?” atau terselit unsur-unsur syirik (riak, 'ujub, takbur) kerana amalan yang disertai syirik adalah sia-sia
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu: "Jika kamu mempersekutukan (Allah), nescaya akan hapuslah amalanmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi" (Az-Zumar:65)
  • Sesuatu amalan seharusnya dipandu dan disandarkan kepada Syariah, dan tidak bercampur dengan maksiat
  • Ingat Allah sentiasa memerhati kita.
  • Jangan diberi tanggapan yang salah – bermakna tidak membuat orang lain percaya bahawa tindakan salah kita adalah sesuatu yang baik. Perkara yang baik tetap baik, perkara yang salah tetap salah perlu disampaikan sebenarnya.
  • Bersangka baik dan pandanglah orang lain lebih baik dari kita. Jangan ada rasa kita paling baik, paling bagus, paling 'alim, paling betul kerana kita memang bukannya yang paling bagus.
  • Ingat semua amalan kita itu adalah dengan izin Allah. Iman, ilmu, gerak hati kekuatan dan keupayaan untuk melakukan sesuatu semuanya adalah kurniaan Allah. Jika Allah tak izin, kita tak mampu nak buat apa pun. 
  • Banyakkan doa dan zikir, mohon supaya Allah kurniakan ikhlas serta menjauhi kita dari penyakit hati dan dari bisikan syaitan
"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (Al 'araf: 201)