Monday, March 9, 2009

Khutbah terakhir

Hari ini, 12 Rabiul Awal, merupakan hari ulangtahun kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Kita adalah umat akhir zaman yang terlalu jauh dengan Rasulullah SAW - dari segi masa dan cara hidup. Hari ini adalah hari yang baik untuk kita memuhasabah diri sebagai umat Nabi Muhammad.

Sempena Maulidur-rasul ini mari kita imbas dan mengambil pengajaran daripada khutbah terakhir Rasulullah SAW yang disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.


"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

(Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-MU kepada hamba-hambaMu."

Tuesday, March 3, 2009

'O' Week

Minggu ni bermulanya semester A yang baru. Dan sudah beberapa malam ni tidur saya terganggu. Bukan sebab imsomnia atau apa, tapi terganggu dengan kebisingan dan kegilaan students (new and returning students) yang mabuk dan tak tahu menghormati orang lain.

Menjadi satu tradisi di NZ, minggu orientasinya di penuhi dengan acara suka ria, berpesta dengan muzik yang bingit seluruh kampus. Mungkin sedikit bernasib baik, projek ubahsuai dan pembinaan bangunan baru menyebabkan mereka terpaksa memindahkan ‘tapak pesta’ ke lokasi yang sedikit jauh dengan bangunan fakulti.


Tetapi agak kurang bernasib baik, kerana kedudukan rumah kami yang ‘strategik’ betul-betul di depan pintu utama Uni dan hostel, maka kawasan ini popular dengan di kalangan para pelajar. Siang minggu orientasi di bisingkan dengan muzik yang memecah gegendang telinga, dan di waktu malam bising dengan jeritan orang yang mabuk. Jiran depan yang baru pindah seminggu lalu ni pula tak tahu adab atau pun tak ada common sense, pasang muzik kuat-kuat dan minum2 di depan rumah. Nasib baik jiran sebaris yang garang tu ‘sound’ budak-budak tu. Nampaknya dia lah penyelamat kami yang selalu marahkan budak-budak yang tak tahu menghormati jiran. It is 2-3am in the morning!!


Sesuatu yang baru dan pelik bagi saya melihat aktiviti orientasi Uni. Setiap malam ada bar/pub yang akan buat diskaun arak untuk para pelajar. Itu tak termasuk lagi ‘sale’ pelbagai jenis arak di kedai-kedai arak yang berhampiran. Hampir setiap hujung minggu akan ada pesta dan akan ada orang yang mabuk sampai tahap gila. Mabuknya sampai tak pakai seluar, pecahkan cermin kereta orang, merosakkan harta benda awam, mengotorkan kawasan dan pelbagai kegilaan lagi. Yang lebih pelik aktiviti ‘minum-minum’ ini di uruskan oleh Student Union!


NZ dan Australia kerap kali membicarakan isu binge drinking di kalangan anak mudanya. Walaupun pelbagai kempen di TV, radio, akhbar dan kuatkuasa undang-undang dilaksanakan, masih tidak dapat menangani masalah ini. Kedai jual arak banyak. Dan promote arak masa orientasi?? Nak kata tak bijak, pelajar universiti... tapi nak kata bijak, macam tak bijak!


Sebab itu lah dalam Islam itu jelas arak itu haram kerana begitu banyak kemudaratannya.

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Al-Maidah 5:90)


Sebab musabab pengharaman itu adalah kerana ia boleh mengganggu fungsi otak dalam berfikir, bercakap dan bertindak. Kita sedia maklum seseorang yang mabuk boleh melakukan pelbagai perkara di luar batasan perilaku kemanusiaan seperti membunuh, memandu laju, membuat bising atau melakukan perkara yang memalukan seperti hadis Rasulullah SAW yang menyebut “Arak adalah ibu segala maksiat dan ia adalah maksiat paling mengaibkan.” (Riwayat Ibnu Majah).


Begitu juga penggunaannya dalam kuantiti yang sedikit sebagai perasa dalam makanan atau sebagainya tetap haram walaupun tidak memabukkan kerana Rasulullah SAW ada bersabda “Apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak, adalah diharamkan walaupun dalam jumlah yang sedikit.” (Riwayat Ibnu Majah). Oleh itu, tidak ada alasan untuk meminum arak walaupun seteguk atau setitik.


Kesimpulannya, peminum arak memberi kesan amat buruk kepada diri individu berkenaan, merosak imej agama, malah mengganggu ketenteraman masyarakat dan boleh menjejas kekuatan negara. Masyarakat wajib menjauhi arak dan terbabit dengannya sama ada secara langsung atau tidak langsung kerana menurut satu lagi hadis Rasulullah SAW “Sepuluh orang yang dikutuk Allah mengenai khamar (arak): Pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan juga pemesannya.” (Riwayat Ibnu Majah).