Wednesday, October 12, 2011

Walaupun ini entry yang agak terlewat, but it is worth mentioning. Alhamdulillah saya kini sudah betul-betul pulang ke tanah air. I am really back for good. Saya sudah selesai dengan viva seminggu sebelum puasa dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.

Jika diingatkan jalan yang ditempuh ketika menghabiskan PhD, rasa macam tak percaya selesai juga akhirnya. Tapi benarlah janji Allah, di setiap kesukaran pasti ada kesenangan, dan kita harus yakin dengan Allah. Alhamdulillah, dan saya mohon Allah sentiasa mengurniakan hati yang penuh syukur terhadap nikmatnya, dan tidak mensia-siakan nikmat yang diberikan.

Nyata dengan anugerah ini, maka bertambahlah tanggungjawab dan amanahnya. Tak terkejar sebenarnya.. Bukan seorang kawan yang terkejut melihat rutin harian saya dan rakan serumah, sehingga menyangka kami ini workoholic.. tidak, ini adalah hanya tuntutan kerja. Tidak dinafikan, saya sering rasa stres, kepenatan, dan rasa nak burn out.. nasib baiklah Islam ini penuh dengan terapi.. Lagipun melihat orang lain yang lebih banyak komitmen dan sumbangannya.. jadi malu sendiri.. bukankah dunia ini sebagai ladang akhirat.. jadi berusahalah semoga semua pekerjaan ini diterima sebagai ibadat dan amal jariah. Diakui banyak sungguh kelemahan dalam menjalankan tugas, masih cuba menguruskan ia sebaiknya.. InsyaAllah with time, akan lebih baik. Itu azam saya..

"Sesungguhnya rehat bagi seorang mukmin itu setelah kakinya menginjak ke syurga"

Kebaikan Dalam Kehidupan - slot Prof Dr Muhaya IKIM.fm

Dunia luaran adalah cermin dalaman, oleh itu cari kebaikan dalam setiap perkara, dan bukan mencari keburukan.

=> Pasang GPS untuk mencari redha Allah

Catatan Ustaz Zahazan, 6 ciri orang yang memiliki cinta sejati:
1. Tawaduk dengan orang mukmin
2. Tegas dengan orang kafir
3. Tidak takut/mengharap penghargaan manusia
4. Banyak melakukan perkara sunat
5. Berjihad pada jalan Allah
6. Banyakkan baca surah Ikhlas

Tujuan manusia dijadikan:
1.Sebagai hamba Allah
2. Sebagai khalifah
3. Untuk mengimarahkan bumi

=> Laksanakan dakwah dengan ilmu berserta kasih sayang. Jangan lihat output, tapi pada proses dakwah

=> Kita hanya mengumpat sebab hati kita dengki

      Jaga mulut!, Hanya cakap perkara yang baik

Wednesday, July 13, 2011

Kesihatan Emosi

Sedikit catatan sebagai perkongsian dari slot radio IKIM.fm bersama Prof. Dr. Muhaya:

Orang paling sihat emosi adalah mereka yang:
1. Bebas dari penghargaan manusia dan hanya mengharapkan redha Allah. Ramai orang stres, sedih, marah bila tidak dihargai-itu maknanya kita masih mengharapkan pengkiktirafan dari manusia (yang juga hanya hamba Allah). Jika kita hanya mengharapkan redha Allah, semua amalan kita adalah ikhlas kerana Allah dan kita tidak akan stres kerana hal-hal dunia.

2. Tawakal kepada Allah. Doa, usaha dan tawakal. Yang penting baginya adalah usaha dan amalannya, hasilnya serah kepada Allah. Jika rezeki itu miliknya, dia bersyukur, dan jika bukan milinknya, dia redha. Sikap ini juga mengurangkan perasaan dengki dan cemburu kerana yakin semua adalah hak Allah untuk beri atau tidak.

3. Melihat hikmah dan kecantikan dalam semua situasi, kerana Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk hamba-Nya.

4. Hidup dengan bersemangat untuk menjalankan tugas dan amanah. Masa itu sangat pendek, dan harus digunakan sebaiknya. Masa harus dipenuhi dengan bekalan untuk akhirat. Jika kita penat dengan kerja yang bermanfaat, kita akan terlalu letih untuk buat kemungkaran dan perkara lagha dan maksiat.


Kita boleh menjadi reaktif atau proaktif. Kebanyakan manusia adalah orang yang reaktif, dan hanya 5% proaktif. Manusia yang proaktif adalah manusia yang berjaya.

Manusia yang reaktif-> emosi dan mood amat dipengaruhi oleh persekitaran. Emosi yang negatif akan membawa kepada reaksi yang negatif.

Manusia yang proaktif->tidak dipengaruhi oleh persekitaran, kerana dia mampu mengawal dan memilih emosi dan pemikirannya. Sentiasa berfikiran positif dan akan menjadi lebih tenang dan ceria. Ini juga sejajar dengan perkongsian Ustaz Pahrol, orang yang proaktif juga adalah orang yang profesional. Emosinya adalah wajar dengan keadaan. Jika ingin marah, patut pada tempatnya--hanya kerana Allah. Jika ingin marah, pause dulu supaya lebih tenang.

Untuk menjadi manusia yang proaktif, kita harus 'kawal input'. Tapis apa yang patut di simpan dalam pemikiran kita, dan apa yang patut di delete. Pilih bahan bacaan, bahan tontonan, apa yang di dengar, dll. sebab perkara-perkara ini mempengaruhi personaliti kita.

Thursday, June 23, 2011

Jadikan kebersihan budaya Malaysia

Sudah hampir tiga bulan saya kembali ke tanah air setelah lama merantau ke negara orang. Sungguh seronok rasanya berada di negara sendiri dan teruja melihat pelbagai perubahan yang berlaku. Malaysia adalah sebuah negara yang cantik dan mempunyai banyak potensi.Tapi malang dan entah di mana silapnya, dalam kepesatan mengejar pembangunan fizikal, kelihatan seolah-olah pembagunan spiritual, emosi dan sahsiah ketinggalan.

Mungkin kerana telah berada di luar negara dan baru sahaja pulang, mata saya menjadi lebih 'tajam' melihat kepincangan ini. Bukan niat ingin mencari salah, tapi saya mahu penulisan ini menjadi peringatan kepada kita supaya tidak 'redha' dengan kebiasaan-kebiasaan negatif ini. Supaya ia tidak menjadi budaya dan disinonimkan dengan rakyat Malaysia. Kita sentiasa mengharapkan Malaysia menjadi lebih baik.


Saya yakin semua mengimpikan rumah yang cantik dan bersih. Tetapi aspirasi itu tidak pula ditunjukkan untuk negara tercinta. Sikap sesetengah rakyat dan penduduk Malaysia dalam aspek pembuangan sampah amat mengecewakan dan pengurusan sampah juga masih perlu diperbaiki.

Dalam lebih kurang 10 km perjalanan pergi dan pulang dari kerja, saya akan melalui jalan yang penuh sampah, tak kira di bahu jalan atau tengah jalan. Tengku Mahkota Johor pun perasan hal ini, walaupun fokusnya untuk negeri Johor.. tapi saya yakin keadaannya sama sahaja 1Malaysia ni. Saya setuju dengan teguran TMJ kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kurang cekap dalam memastikan kebersihan daerahnya. Walaupun ada jadual pungutan sampah di kawasan perumahan, tetapi datang dan tidak datang sesuka hati. Dengan cuaca Malaysia ini, sampah kita cepat busuk dan berulat. Ditambah pula dengan kucing dan anjing liar dan peliharaan, sampah sarap jadi bersepah-sepah di geladah. Begitu juga tong-tong sampah di kawasan awam, walaupun telah disediakan PBT masih perlu memastikan ianya sentiasa dikutip. Kadang-kadang tong sampah sampai overload berhari-hari. Di luar negara, sampah dikutip mengikut hari dan masa yang telah di tetapkan dan secara konsisten. Jadi penduduk sesuatu kawasan itu boleh membuang sampah dengan sistematik, tidak terlalu awal untuk mengelakkan dari di geledah oleh haiwan, dan tidak terlalu lewat sehingga ketinggalan lori sampah. Jika hari yang di jadualkan jatuh pada cuti umum, sampah akan dikutip pada hari berikutnya.

Sekalipun tanggungjawab PBT memastikan kebersihan daerahnya, penduduk sendiri harus bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan. Ini tidak, sebilangan penduduk Malaysia telah berjaya 'meluaskan' kawasan pembuangan sampah dengan di mana-mana pun boleh buang sampah, tak kira tempat dan masa, tanpa rasa malu atau bersalah.  Sakit mata dan hati melihat orang membuang sampah merata-rata. Di mana dia makan/minum, disitu jugalah kotak/plastik/tin minuman dibuang. Lebih menyebabkan 'sakit jiwa' apabila melihat sebuah kereta yang bergerak di hadapan saya mencampak bungkusan makanan ringan air mineral keluar tingkap. Selamba betul dia buang sampah merata-rata tanpa segan silu, dan tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain pula tu. Uncivilised, inconsiderate and selfish!! Saya ingatkan cuma kes terpencil, rupanya ramai yang melakukan begitu.Cuba lihat dalam semak (yang sekangkang kera) pun boleh dijadikan kawasan lambakan sampah sarap yang menyakitkan permandangan.

Cuba lihat pula kawasan pasar malam, lagi hebat. Waktu malam mungkin tidak perasan. Tapi cuba jenguk di keesokan harinya, maka terserlah betapa kroniknya sikap pengotor sesetengah orang ni. Tandas awam Malaysia memang terkenal dengan ketidak bersihannya. Tak tahu mengapa hingga zaman yang konon moden dan canggih ini, masih ramai tidak tahu menggunakan tandas dengan betul. Sekalipun ada pencuci, bertanggungjawablah juga dalam menjaga kebersihannya. Cuba bayangkan jika kita yang kena mencuci kekotoran tersebut, sanggup tak?

Orang perempuan ni, satu kegemaran dia pula  tisu muka. Tapi macam tak pandai pula nak buang dengan betul tisu yang kotor tu. Dari tandas, pergi ke tempat wudhu' dan sampai ke surau/masjid.. ada sahaja tisu yang ditinggalkan di sinki, diselit-selit di paip tempat wudhu' tu atau dibuang di lantai. Bukankah Islam mengajar kebersihan? Tidak guna bermuka cantik, berbedak dan make-up sakan tapi kebersihan tidak di jaga. Tak ada maknanya! Bagi lelaki yang merokok pula, merokok tak kena tempat satu hal, puntung tu pula campak sesedap rasa. Memanglah tak beradab.

Jika lihat jiran terdekat kita, Singapura, sangat bersih. Saya amat kagum dengan kebersihan negara tersebut. Undang-undang tentang pembuangan sampah amat dititikberatkan, dan telah berjaya melahirkan masyarakat pembersih. Tapi bila masuk sahaja sempadan Malaysia.. hmm.. amat mendukacitakan.

Saya hairan kenapa sesetengah penduduk Malaysia ini begitu memandang mudah isu sampah sarap ini. Kenapa kesedaran sivik yang sangat asas ini susah di praktikan? Jadikanlah Malaysia negara yang bersih. Jadikanlah kebersihan budaya orang Malaysia

Tuesday, January 4, 2011

Niat dan Ikhlas

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs ibn Khattab r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah"
 (Riwayat Dua imam Muhaddisin – Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah ibn Bardizbah Al Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al Hujjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naisaburi dalam sahih keduanya).



Hadis ini adalah antara hadis yang terpenting dalam Islam yang merujuk tentang niat dan keikhlasan. Ikhlas adalah satu syarat untuk sesuatu amalan baik itu diterima oleh Allah.

"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya..."
(Surah Al-Bayyinah:5)

 
Mengatakan ikhlas itu mudah, tetapi memastikan perbuatan dan amalan kita adalah benar-benar ikhlas dan semata-mata kerana Allah tidak semudah itu. Ini kerana hati dan iman kita ini sering akan diuji, dan syaitan juga akan sentiasa membisikkan hasutan jahat. Kita mudah terpedaya dengan diri sendiri dengan merasakan sudah ikhlas dalam ibadah kita kepada Allah, tetapi tanpa sedar ikhlas kita sudah tercalar. Hanya Allah sahaja dapat menilai keikhlasan kita. Oleh itu kita perlu selalu berusaha untuk memastikan hati kita sentiasa ikhlas. Ikhlas itu bukan dari kata-kata, tapi lebih merupakan 'komitmen rahsia' antara kita dengan Allah SWT.


Walaupun niat asalnya ikhlas, tapi mungkin boleh terselit dengan unsur-unsur lain yang boleh menyebabkan kita tidak ikhlas, iaitu dengan timbulnya perassan riak, 'ujub, takbur dan sebagainya. Untuk mencapai ikhlas, kita perlu pastikan tidak terselit unsur-unsur syirik khafi atau syirik tersembunyi (iaitu menyekutukan Allah dengan benda atau makhluk lain, yang akan menyebabkan kita tidak ikhlas). Syirik khafi ini adalah kita melakukan amalan baik bukan kerana Allah tetapi untuk manusia lain, kepentingkan diri sendiri, atau mengikut hawa nafsu antaranya
  1. Untuk memperlihatkan dirinya baik di hati orang lain.
  2. Untuk mencari puji-pujian dan kecintaan dari orang lain.
  3. Untuk mengelak dari dihina orang lain.
  4. Untuk mendapat kemegahan daripada orang lain.
  5. Mengharapkan ganjaran, balasan, bantuan dari orang lain.

Pendek kata, jika kita hendak nilai kita ini ikhlas atau tidak, selalulah muhasabahlah kerana kebiasaanya, jika amalan itu tidak ikhlas kerana Allah (tetapi kerana 'hamba Allah'), kita akan mudah berpuas hati dengan 'kebaikan' yang dilakukan dan akan merasa sedih, terkilan, atau marah jika tidak dihargai dan dilupai oleh manusia.


Ikhlas itu perlu dididik dari hati: Antara yang boleh dilakukan untuk mendidik hati supaya ikhlas:
  • Dalam melakukan sesuatu, periksa niat (tujuan hati) – tanyakan diri sendiri: “Adakah ini semata untuk Allah?” atau terselit unsur-unsur syirik (riak, 'ujub, takbur) kerana amalan yang disertai syirik adalah sia-sia
"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu: "Jika kamu mempersekutukan (Allah), nescaya akan hapuslah amalanmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi" (Az-Zumar:65)
  • Sesuatu amalan seharusnya dipandu dan disandarkan kepada Syariah, dan tidak bercampur dengan maksiat
  • Ingat Allah sentiasa memerhati kita.
  • Jangan diberi tanggapan yang salah – bermakna tidak membuat orang lain percaya bahawa tindakan salah kita adalah sesuatu yang baik. Perkara yang baik tetap baik, perkara yang salah tetap salah perlu disampaikan sebenarnya.
  • Bersangka baik dan pandanglah orang lain lebih baik dari kita. Jangan ada rasa kita paling baik, paling bagus, paling 'alim, paling betul kerana kita memang bukannya yang paling bagus.
  • Ingat semua amalan kita itu adalah dengan izin Allah. Iman, ilmu, gerak hati kekuatan dan keupayaan untuk melakukan sesuatu semuanya adalah kurniaan Allah. Jika Allah tak izin, kita tak mampu nak buat apa pun. 
  • Banyakkan doa dan zikir, mohon supaya Allah kurniakan ikhlas serta menjauhi kita dari penyakit hati dan dari bisikan syaitan
"Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (Al 'araf: 201)

Tuesday, December 28, 2010

Laksanakan Lima Wasiat Allah S.W.T. Kepada Rasulullah S.A.W.

Berkongsi nasihat dari blog Ustaz AbuBasyer

Sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya : "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T. telah memberikan lima wasiat, antaranya :

1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

5.  Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.


Berdasarkan hadis tersebut  Allah S.W.T telah memerintahkan Rasul-Nya untuk melaksanakannya wasiat tersebut di dalam kehidupan dan memerintahkan baginda untuk disampaikan kepada umatnya.

Huraian wasiat-wasiat terebut adalah seperti berikut :

Pertama : Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan bahawa dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan. Dunia juga adalah tempat main-main dan senda gurau bukan tempat yang kekal abadi.

Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun hakikatnya laranga-larangan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan manusia itu sendiri agar tidak terjebak ke lembah kebinasaan.

Berbeza pula bagi golongan kafir mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri mereka sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya.

Sebab itu kita selaku orang mukmin diseru agar memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).

Jabir bin Abdullah berkata : "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah s.a.w. maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah s.a.w. dengan berkata : "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?

Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata : " Dunia itu adalah impian orang yang tidur"

Bertanya orang itu lagi : "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah s.a.w.?"

Berkata Rasulullah s.a.w. : " Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir"

Kedua : Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

Perasaan cinta dan kasih sayang adalah fitrah manusia. Manusia perlu mencintai dan di cintai. Cinta paling agong dan paling tinggi adalah cinta kepada Allah S.W.T. Cinta-cinta yang lain sesama makhluk mestilah berpaksikan cinta kerana Allah, kerana cinta bukan kerana Allah menyebabkan cinta itu palsu dan tidak akan kekal lama dan ianya berasakan nafsu semata-mata. Allah S.W.T. akan murka kepada sesiapa yang mencintai orang lain bukan kerana-Nya.

Untuk mendapatkan cinta kepada Allah S.W.T. seorang hamba itu mestilah membanyakkan bermunajat, solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Lidahnya tidak kering sentiasa menyebut nama-Nya, memuji dan mengagungkan-Nya . Apabila berkumandang suara azan, jiwa dan hatinya rasa seronok kerana menuju ketempat solat menyahut panggilan muazin dan dapat bertemu dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah ayat 24)

Oleh itu marilah kita memberikan memberikan cinta kita kepada Allah S.W.T. dengan hati yang ikhlas dengan mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga cinta yang agung ini akan menyelamatkan kita daripada seksaan yang daksyat di hari akhirat nanti.

Ketiga : Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

Terdapat tujuh amal soleh apabila dilaksanakan bersungguh-sungguh akan mendapat balasan syurga. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Bertakwa kepada Allah.

Menurut Syara’, ‘Takwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah s.w.t. dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.

Allah berfirman maksudnya :‘’Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Rabbnya.'’ (Surah al-Qalam ayat 34).

2. Beriman dan beramal dengan ikhlas serta sesuai dengan yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah S.A.W.  bersabda :(Setiap umatku masuk ke dalam syurga kecuali yang enggan, para sahabat bertanya : ‘’Siapa yang enggan itu wahai Rasulullah ?'’ Baginda  menjawab : ‘’Siapa yang taat kepadaku nescaya ia masuk syurga, dan siapa yang bermaksiat (melanggar) kepadaku maka sesungguhnya dia lah orangnya yang enggan itu.'’ (Hadis Riwayat Bukhari)

3. Melaksanakan seluruh perintah Allah S.W.T. menjauhkan seluruh larangan-Nya dan melaksanakn hal-hal yang diwajibkan serta meninggalkan hal-hal yang diharamkan.

Dari Jabir katanya seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah S.A.W. : "Bagaimana pendapatmu, apabila aku telah melakukan solat wajib, dan berpuasa Ramadan, aku halalkan yang halal dan aku haramkan yang haram, dan tidak kutambah yang demikian itu dengan yang lainnya, dapatkah aku masuk syurga ? Jawab baginda : ‘’Ya, dapat !.'’
(Hadis Riwayat Muslim.)

4. Bertaubat dan memohon ampunan kepada Allah S.W.T. dari seluruh dosa dan kesalahan. Suka bersedekah, mampu menahan marah serta memiliki sifat pemaaf.

Allah berfirman maksudnya :‘’Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah . Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Rabb mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.'’ (Surah Ali-Imran ayat 133-136).

5. Berhijrah dari keburukan (jahiliyah) kepada kebaikan (Islam), serta berjihad dengan harta dan jiwa demi meninggikan kalimah Allah.

Firman Allah s.w.t maksudnya : ‘’Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapatkan kemenangan. Rabb mereka mengembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredhan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.'’ (Surah at-Taubah ayat 20-22)

6. Istiqamah dalam ketaatan dan bersungguh-sungguh dalam menjalankannya.

Firman Allah S.W.T.  maksudnya  : ‘’Sesunguhnya orang-orang yang mengatakan : ‘’Rabb kami ialah Allah'’, kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berdukacita. Mereka itulah penghuni - penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.'’(Surah al-Ahqaf  ayat 13-14)

7. Khusyuk dalam solat, meninggalkan perbuatan yang tidak berguna dan membayar zakat, menjaga kemaluan serta memelihara amanah.

Firman Allah s.w.t maksudnya : ‘’Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (ya’ni) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.'’(Surah al-Mukminun ayat 1-11)

Keempat : Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)

Apa itu tawakal? Tawakal bererti menyerah diri kepada Allah dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-Nya dalam menjayakan suatu pekerjaan atau berserah diri di bawah lindungan-Nya pada saat menghadapi kesusahan.

Orang mukmin akan putuskan harapan dari makhluk kerana makhluk tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kerana kekuatan sebenar adalah kekuatan Allah S.W.T. Dia bertawakal dan berserah diri hanya kepada Allah S.W.T. Makhluk tidak boleh mendatangkan sedikit pun mudarat melainkan dengan izin Allah S.W.T.

Kelima : Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Solat satu ibadah khusus solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh seorang Mukmin adalah solat tahajjud. Kekuatan solat tahajjud adalah dapat membina hubungan hati dengan Allah s.w.t.

“Tahajjud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajjud dikerjakan dua rekaat.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”
( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita laksanakan lima wasiat Allah S.W.T kepada Nabi S.A.W ketika baginda di israkkan untuk bertemu Allah S.W.T. Sesungguhnya kelima-lima wasiat tersebut akan mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T dan akan mendapat balasan syurga di hari akhirat nanti.

Wednesday, December 1, 2010

Hanya ego yang tercalar

Kadang-kadang kita diuji dengan perasaan sedih dan terkilan apabila jasa dan bantuan kita dilupakan. Tambah-tambah bila orang tu dah senang ye.Tapi bila muhasabah semula, tidak perlu rasa sedih, marah, terkilan atau apa sahaja yang sekutu dengannnya. Malah, perlu rasa bersyukur kerana langsung tidak disebut dan diingat. Sebenarnya tak rugi pun orang tak ingat, yang tercalar hanyalah perasaan ego. Ego tercalar kerana tanda iman belum mantap dan masih mengharapkan penghargaan, pujian dan sanjungan manusia biasa!!

Biarkan sahaja jika ada kebaikan/jasa/pertolongan kita tidak dihargai atau dilupakan. Bukankan itu satu rahmat dan tarbiah untuk hati? Kerana itu akan menyelamatkan hati kita dari riyak dan takbur. Kerana ia mengajar kita tentang ikhlas. Lagipun semua pertolongan itu dengan izin Allah yang memberikan instinct dan peluang untuk menolong dan keupayaan untuk melaksanakan. Jadi, sebenarnya siapa yang tolong? Bukan kita pun.. tapi Allah.. kita sahaja yang perasan kita yang tolong.. Hehe.

So tak perlu lah dirisaukan penilaian dan mengharapkan pujian manusia. Ia hanyalah sebagai ujian keimanan dan keikhlasan kita. Sedangkan memang sudah kita ketahui dan percaya dengan jelas penilaian Allah yang paling penting. Malah jika Allah terima ibadah kita yang ikhlas itu lebih bermakna dan berharga dari segala pujian dari sekalian manusia sepanjang hidup kita.


Sebagai penutup, dikongsi kata-kataIbn Qayyim:
"Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi guni dengan kerikil pasir. Memberatkan tapi tidak bermanfaat"