Thursday, September 16, 2010

Apa setelah Ramadhan?

Telah seminggu kita meraikan Syawal--meraikan kemenangan. Menangkah kita?

Semoga dengan berakhirnya Ramadhan, diri ini masih mampu istiqamah dengan amalan yang dilatih sepanjang Ramadhan. Sedarlah wahai diri, amalan (baik dan jahat) dihitung sepanjang nyawa di kandung badan, bukan hanya di bulan Ramadhan. Moga sentiasa sabar dan istiqamah dalam melakukan ibadat dan kebaikan, dan mencegah diri dari kemungkaran. Moga sentiasa mampu menjaga penglihatan, pendengaran, lisan dan hati.

Ya Allah, ampunilah dosa kami, bersihkanlah hati kami, kuatkanlah iman kami, terimalah ibadat kami, perbaikilah amalan kami.

Dekatkan kami dengan kebaikan dan jauhkan lah kami dari kejahatan.

Berilah kami dengan kesudahan yang baik, dan tempatkan kami bersama orang-orang yang Engkau redhai.

Thursday, July 8, 2010

Peristiwa Israk dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang) .

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.



Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa` id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
                                                               (Surah Al-Israa': Ayat 1).




Nota: Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz/ah atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Sunday, May 23, 2010

Surah As-Syura (78-85, 87-89)


“(Allah) Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;

Dan Tuhan yang memberiku makan dan memberi minum,

Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;

Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku;

Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;


Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);



                                                     

Saturday, May 8, 2010

Kerana pulut santan binasa ...

Lidah (tidak bisu, dan boleh bercakap) adalah antara nikmat yang paling berharga dalam hidup. Pada masa yang sama merupakan ujian yang besar juga terutama bila tak pandai menjaganya.

Saya cuba untuk lebihkan diam dan kurang bercakap kerana sedar betapa perkataan boleh menjadi satu senjata yang merbahaya. Bukan kerana nature saya yang bermulut laser, atau bergurau melebihi batas, malah kebanyakkan tanggapan awal orang terhadap saya lebih kepada serius dan skema. Tetapi selalunya berlaku kata-kata kita itu lebih cepat diputar belit dan disalah anggap.Dan lebih tragis apabila kata-kata itu disampaikan pula pada orang lain, kononnya dari kita padahal kita tak cakap macam tu pun. Silap-silap boleh menimbulkan rasa tidak senang dan perselisihan pula.

Maka saya memilih untuk diam. Tetapi timbul pula satu isu lain. Bila kita diam, maka timbul pula cerita dan spekulasi yang tidak pernah terfikir oleh diri saya sendiri. Betapa kreatifnya manusia mereka cerita, menunjukkan betapa busuknya hati manusia.

Hidup ini akan sentiasa dihiasi dengan pengalaman. Dalam sedih dan pedih hati saya menerima ujian kerana mulut, saya bersyukur dengan pelajaran yang saya perolehi darinya.

Pertama, saya terima kelemahan saya yang kurang pandai berbicara dan menyampaikan maksud hati sampai orang terus terpegun mendengar atau terus faham maksud hati yang ingin saya sampaikan.Ia menjadikan saya lebih berhati-hati dalam menjaga mulut sendiri.

Kedua, saya juga belajar apa saja cerita yang kita dengar tentang orang lain tidak perlulah percaya terus, sebab selalunya dan kebanyakkannya telah ditambah perisa dan mengikut interpretasi si penyampai cerita. Terimalah dengan hati dan minda yang terbuka, dengan tiada prejudis dan buruk sangka. Dan paling penting, tidak perlulah menjadi penyampai pula cerita yang tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Tambah-tambah bila melibatkan aib orang, lebih baik disimpan. Jika salah, boleh jatuh dosa fitnah.
 
Ketiga, apabila kata-kata kita diputar belit oleh orang atau diam kita disalah tafsir, pasrah dan berserah saja pada Allah. Jika melibatkan maruah atau sesuatu perkara yang rasanya perlu untuk diperbetulkan, kenalah juga pertahankan hak kita supaya tidak ditindas atau dipandang serong oleh orang. Tetapi dengan cara yang paling berhikmah dan tidak menjatuhkan air muka sendiri. Kadang-kadang orang bila dah marah macam perkataan kesat keluar, sudahnya sama saja taraf dengan orang yang dimarahi. Jika tidak mampu mempertahankan diri, bersabar dan berdoa kepada Allah. Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Dan ingatkan diri bahawa pandangan Allah pada kita adalah lebih utama.

Keempat, pendapat kita tak semestinya betul. Tidak perlulah beria-ia mempertahankannya. Dan kadang-kadang kata-kata itu berasaskan prejudis, sombong, riak atau 'ujub.

Saya pasti banyak lagi pengajarannya tapi mata sudah berat dan kepala sudah berat untuk berfikir malam ini :)
(Tak jadilah plan nak stay up burning the midnight oil malam ni nampaknya)

Sebagai penutup, beberapa perkongsian hadis2 Rasullulah SAW mengenai kelebihan diam:

"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya".
( Riwayat Abu Naim )

"Barangsiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". ( Riwayat Bukhari & Muslim )

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dr bahaya".
( Riwayat AtTarmizi)


Saya masih belajar untuk bermuhajadah dengan nikmat lidah dan mulut saya...

Friday, April 30, 2010

Petua mewarisi Syurga Firdausi

"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,


(yaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya,


dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang lagha/tiada berguna,


dan orang-orang yang menunaikan zakat,


dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,


kecuali terhadap isteri-isteri mereka; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.


Barang siapa mencari selain itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.


Dan orang-orang yang memelihara amanah (yang dipikulnya) dan janjinya,


dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.


Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,


(yakni) yang akan mewarisi surga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya."

(Surah Al-Mu'minun:1-11) 

Friday, April 9, 2010

Mengapa kau hadir dalam hidupku?

"He deserves death."
"Deserves it! I daresay he does. Many that live deserve death. And some that die deserve life. Can you give it to them? Then do not be too eager to deal out death in judgement. For even the very wise cannot see all ends. I have not much hope that Gollum can be cured before he dies, but there is a chance of it. And he is bound up with the fate of the Ring. My heart tells me that he has some part to play yet, or good or Ill, before the end; and when that comes, the pity of Bilbo may rule the fate of many - yours not least."
-The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring

Dialog diatas merupakan petikan dialog antara Frodo dan Gandalf dalam buku The Lord of the Rings ketika membicarakan tentang Gollum. Saya pada asalnya tak tahu pun kewujudan buku LOTR ni kerana saya memang tak minat cerita berunsurkan fantasi. Sepupu saya yang memperkenalkan LOTR pada saya. Mulanya tak berminat pun, tapi selepas menontonnya memang saya terpikat. Saya minat LOTR kerana merasakan begitu banyak mesej yang boleh di ambil.

Sebenarnya saya bukan nak bercerita pasal Gollum dan LOTR, tetapi watak Gollum tu memang wujud dalam kehidupan sebenar. Memang akan wujud dalam kehidupan kita orang yang kita rasa lebih baik tak pernah hadir dalam kehidupan kita. Saya pun pernah fikir, "Kalau lah tak kenal XX ni kan bagus" atau "YY ni tak ada pun lagi baik", tapi sebenarnya bila difikir semula yang berlaku ini adalah perancangan Allah. Tak ada satu perkara pun yang berlaku dalam hidup ini sebab kebetulan.Setiap yang berlaku ada sebabnya, bergantung pada kita bagaimana kita hendak menghadapinya.


Mungkin kita pernah rasa betapa malangnya kenal orang ni. Tetapi bila muhasabah semula, betapa beruntungnya kita kenal dia. Setiap orang yang hadir dalam hidup kita ada peranannya sekalipun dia pernah menyakitkan dan menyusahkan kita. Pengalaman hidup berhadapan dengan orang-orang ini sebenarnya mengajar kita lebih sabar dan dapat pula muhasabah diri. Pengalaman adalah guru yang paling baik. Kita sentiasa belajar daripada orang sekeliling kita, mana yang baik jadikan contoh teladan, mana yang tak buruk jadikan sempadan. Dan yang lebih penting, dapat menilai antara baik dan buruk.Moga bila berhadapan dengan orang dan situasi yang hampir sama, kita lebih bersedia dan tidak melakukan kesilapan yang sama.

Saturday, April 3, 2010

Doa Nabi Musa

Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku
Mudahkan untukku urusanku
Lepaskan ikatan dari lidahku (bebaskan dari kesalahan dari kata-kataku)
Agar mereka mengerti ucapanku


(Surah Taha:25-28)